MALAYSIAKINI
TELUK INTAN Peguam berusia 27 tahun
lulusan UiTM, Dyana Sofya Mohd Daud hari ini diumumkan sebagai calon DAP
dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat pengumuman itu di pusat gerakan pilihan raya kecil DAP di Bandar Baru Teluk Intan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi membuktikan kepelbagaian DAP sebagai sebuah parti politik.
Dalam ucapannya, Dyana menyentuhkan usaha memecahkan halangan kaum dan
agama, dan mencari formula yang sesuai umpama "teh tarik' Malaysia yang
digemari semua orang.
Katanya, teh tarik digemari semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa
atau agama dan identiti seumpama itulah yang diperlukan oleh rakyat
Malaysia.
Dalam sidang akhbar kemudiannya, Dyana berkata bahawa dia tidak bimbang
dengan percubaan untuk mencemarkan reputasinya yang telah pun bermula di
kalangan sesetengah blogger.
"Mereka fikir kerana saya seorang wanita, maka saya akan berhenti
politik. Tetapi maaflah, saya tidak akan berganjak dari sini," kata
Dyana, yang mempunyai wajah seiras foto seorang wanita memakai bikini
yang disiarkan dalam beberapa blog sebelum pengumuman hari ini.
MP Petaling Jaya Utara Tony Pua akan bertindak sebagai pengarah pilihan raya DAP untuk pilihan raya kecil Teluk Intan.
Dyana Sofya merupakan setiausaha politik kepada Kit Siang. Sebelum ini,
kebanyakan bekas setiausaha politik Kit Siang dipilih sebagai wakil
rakyat.
Mereka termasuk ahli exco kanan Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan ahli
exco Ean Yong Hian Wah, exco Pulau Pinang Chow Kon Yeow, MP Seputeh
Teresa Kok, dan MP Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.
Dyana menyertai parti itu pada tahun 2012 dan kemudian membantu kempen Kit Siang dalam pilihan raya umum ke-13 di Gelang Patah.
Beliau secara terbuka diperkenalkan oleh Kit Siang pada konvensyen DAP sebagai setiausaha politiknya yang baru selepas PRU13.
Berusia 27 tahun dan menjadi ahli politik sepenuh masa, Dyana berasal
dari Ipoh, tetapi kini bertugas di kawasan pilihan raya Kit Siang di
Parlimen Gelang Patah.
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas.
Penamaan calon PRK Teluk Intan akan diadakan pada 19 Mei.
Dalam
pilihan raya umum ke-13, Seah, 48, menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew
Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.
Bagi kepimpinan pusat parti itu, Dyana dilihat sebagai calon yang sesuai untuk membantu menembusi kawasan majoriti Melayu.
Walaupun Teluk Intan merupakan kerusi majoriti Cina, ia mempunyai ramai
penduduk Melayu. Kawasan ini terdiri daripada 42 peratus pengundi Cina,
Melayu (38 peratus) dan India (19 peratus).
Dyana juga dijangka dapat mengurangkan sebarang kemungkinan penentangan
di kalangan pengundi Islam terhadap DAP yang kuat menentang
undang-undang hudud.
Jika Dyana menang, beliau akan menjadi ahli Parlimen Melayu ketiga dari
DAP, selepas MP Bayan Baru Zairil Khir Johari dan MP Raub Datuk Ariff
Sabri Abdul Aziz.
Dalam konteks politik serantau, Dyana dilihat sebagai calon kompromi
kepada Hew, yang dikenali sebagai pesaing kuat kepada pengerusi DAP
Perak, Nga Kor Ming.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan