Khamis, 22 Mei 2014

Rampkarpal umum manifesto tiga hari sebelum mengundi

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, calon DAP Ramkarpal Singh Deo (gambar) hari ini melancarkan manifestonya.

Bagaimanapun, penjelasan mengenai manifesto enam perkara itu dilakukan oleh Anggota Parlimen Tanjong Ng Wei Aik.

Ramkarpal anak lelaki ketiga mendiang Karpal Singh, berkata selepas 10 hari berkempen, beliau mengenal pasti enam isu utama yang membentuk manifestonya itu.

"Pada masa ini kita ada tiga anggota dewan undangan negeri daripada DAP dan jika saya dipilih, saya beri jaminan kami akan bekerjasama untuk memastikan semua ini dilaksana," katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifestonya di George Town.

Manifesto itu meliputi penambahbaikan sistem trafik, membina kawasan rekreasi untuk orang awam, menaik taraf pasar basah, pendidikan, perumahan dan program pembangunan; serta alam sekitar.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai pelaksanaan penambahbaikan sistem trafik, Ramkarpal tidak menjawab, sebaliknya Ng yang juga ketua komunikasi jawatankuasa PRK DAP, berkata beliau akan memberi penjelasan kepada wartawan kemudian.

DAP juga mengumumkan parti itu akan mengadakan ceramah mega terakhir esok dan antara pemimpin yang dijangka berucap ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Kerusi Parlimen Gelugor kosong susulan kematian Karpal Singh yang maut dalam nahas jalan raya pada 17 April.

Ramkarpal dicabar tiga lagi calon iaitu Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan dan dua calon Bebas -- Abu Backer Sidek Mohammad Zan dan Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar. –  Bernama,

Tiada ulasan: