Khamis, 22 Mei 2014

DUN Pulau Pinang lulus usul tergempar kumpulan lelaki cetus kekecohan

THE MALAYSIAN INSIDER


Polis menenangkan sekumpulan lelaki yang berkumpul di depan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, hari ini, susulan kekecohan serbuan ahli Umno di dewan itu semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 22 Mei, 2014.Polis menenangkan sekumpulan lelaki yang berkumpul di depan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, hari ini, susulan kekecohan serbuan ahli Umno di dewan itu semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain.



























Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan usul tergempar dengan lima ketetapan berhubung tindakan sekumpulan lelaki menceroboh dan mencetuskan kekecohan di DUN, semalam.

Usul itu dicadang dan dibentangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada persidangan DUN.

Ketetapan itu antara lain mengulangi kecaman ke atas tindakan sekumpulan perusuh dan samseng yang mengaku ahli Umno dan menyuarakan kekesalan kejadian itu adalah satu serangan jahat terhadap sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Usul itu juga mengarahkan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan pasukan keselamatan untuk mengambil alih tugas keselamatan di luar dan dalam perkarangan serta menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyediakan laporan berhubung kejadian itu.

Jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan Speaker Datuk Law Choo Kiang dan dianggotai timbalan speaker Maktar Shapee; Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota, Chow Kon Yeow dan Adun Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man.

Lim (DAP-Air Putih) ketika membentangkan usul itu berkata, ia tidak seharusnya berlaku dan tidak pernah terjadi dalam institusi negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan.

"Kita rasa sangat kesal keselamatan sedia ada dalam Dewan Undangan Negeri dibolosi dengan begitu mudah.

"Saya amat kesal apabila kumpulan perusuh dan samseng ini nampaknya direstui daripada Adun pembangkang. Kita harus memandang perkara ini dengan serius," katanya yang menyifatkan kejadian sebagai satu titik hitam dalam sejarah.

Semalam, sekumpulan 100 lelaki yang mengaku sebagai ahli Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang untuk mencari Adun Seri Delima, R S N Rayer yang mengatakan "Umno celaka" ketika persidangan dewan, pada Selasa.

Rayer mengeluarkan perkataan itu ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri ini cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969.

Usul tergempar itu diluluskan sebulat suara 27 wakil rakyat penyokong kerajaan yang menghadiri persidangan itu, manakala sembilan Adun Barisan Nasional tidak menyokong usul itu. – Bernama,

Tiada ulasan: