Oleh Aedi Asri |
Suasana pagi Sabtu di Pasar Air Itam cukup sesak. Orang ramai membeli barang keperluan, kedai-kedai kopi penuh dengan pelanggan. Beberapa petugas DAP pula sibuk mengedarkan risalah.
Hari ini adalah hari terakhir kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gelugor yang bermula 13 Mei lalu.
Calon DAP Ramkarpal Singh tiba kira-kira jam 10.30 pagi. Orang ramai sudah mula melambai-lambaikan tangan ketika beliau masih di dalam kereta, ketika mencari ruang parkir.
Seperti siri ‘walkabout’ sebelum ini, beliau seperti biasa bersalam dan berbual ringkas dengan hampir semua yang ada di sana.
Namun, beliau kelihatan sedikit tergesa-gesa daripada biasa.
“Ini adalah hari terakhir kempen. Kita harap dapat kunjungi semua tempat dalam kawasan Parlimen.
Dan saya rayu, agar semua pengundi dapat keluar esok untuk sokong saya,” katanya ketika ditemui.
Sememangnya itulah tema utama kempen sejak hari pertama – keluar mengundi.
Ketika ditanya wartawan tentang soal meningkatkan majoriti, beliau berkata, “Ada peluang, tapi isu utamanya adalah peratusan keluar mengundi.”
“Ini adalah perkara yang kami tekankan. Kami juga berharap pengundi luar dapat balik esok,” katanya lagi.
Peratusan besar tidak mustahil
Beliau percaya sasaran jumlah pengundi yang besar akan dapat dicapai, memandangkan kesedaran pengundi yang semakin meningkat yang terlihat jelas sepanjang tempoh kempen.
Perkara itu turut dipersetujui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam Wong Hon Wai yang turut serta.
“Saya yakin mesej yang disampaikan dalam ceramah, publisiti besar-besaran dan lawatan ke rumah berjaya tingkatkan kesedaran untuk keluar mengundi.
“Hari terakhir ini juga kita akan terus melawat pintu ke pintu, untuk terus tekankan (push) soal ini,” katanya.
Keyakinan itu ternyata berasas, dengan melihat sambutan orang ramai terhadap Ramkarpal sepanjang ‘walkabout’ di sini – pada setiap senyuman, teguran dan lambaian tangan.
Pada Pilihanraya Umum yang lalu, mendiang Karpal Singh mengekalkan kerusi parlimen ini dengan majoriti 41,778 undi.
Kemenangan besar amat penting dalam PRK kali ini, memandangkan BN dan media kawalannya pasti akan memutarkan (spin) ‘pengurangan majoriti yang banyak’ sebagai kekalahan Pakatan Rakyat.
Namun begitu, Ram dan pasukan kempennya masih sempat untuk berehat di sebuah restoran, malah menjemput semua wartawan untuk minum bersama-samanya.
Naik pacuan 4 roda ronda kawasan
Selepas mengelilingi Pasar Air Hitam dan kawasan sekitar, beliau mengelilingi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam dan Paya Terubong.
Dengan berdiri di ruang belakang pacuan empat roda, kelibatnya disambut lambaian orang ramai serta hon kenderaan yang berpapasan.
Turut bersama adalah Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Ismail Salleh dan Adun kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa.
Lokasi ‘walkabout’ lain pada hari terakhir ini adalah Pasaraya Sunshine Farlim, Air Itam dan Pusat Penjaja Relau, sebelum ceramah penutup, juga di Air Itam. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan