TELUK INTAN: DAP membuat laporan polis apabila pihak jentera mereka menemui risalah berunsur lucah yang cuba mengaitkan dengan calonnya yang mewakili Pakatan Rakyat, Dyana Sofya Mohd Daud pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak, Teluk Intan dekat sini petang semalam.
Helaian kertas berbentuk risalah itu memaparkan gambar Dyana Sofya dengan gambar seorang gadis berbikini.
Wakil calon, Howard Lee berkata, risalah fitnah itu dipercayai telah diedarkan di sekitar kampung Melayu di dalam Dun Changkat Jong dan dijumpai oleh petugas Pakatan Rakyat.
Katanya, gambar wanita berbikini yang dikaitkan dengan Dyana itu adalah satu fitnah dan pihaknya sebelum ini telah menjawab tuduhan demikian kerana individu tersebut adalah seorang pelakon Filipina.
"Ini adalah satu fitnah besar, DAP menolak sekeras-kerasnya perbuatan terkutuk ini.
"DAP dan Dyana sendiri tolak perbuatan kempen fitnah yang tidak bertanggungjawab seperti ini," katanya ketika mengadakan sidang media selepas selesai membuat laporan polis.
Howard yang juga Adun Pasir Pinji menegaskan, DAP menggesa BN untuk bersama-sama menolak perbuatan terkutuk seperti itu selaras dengan ikrar calon BN yang inginkan kempen bersih dan adil dalam pilihanraya ini.
DAP katanya tidak menuding jari kepada sesiapa namun beliau menggesa calon BN, Datuk Mah Siew Keong agar bersama-sama mengecam penyebaran gambar itu yang menyimpang daripada semangat demokrasi.
"Jika ini bukan perbuatan BN, kami hendak dan gesa BN membuat kenyataan tentang kejadian ini," tegasnya.
Hadir sama ketika membuat laporan polis itu ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto
Tiada ulasan:
Catat Ulasan