KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia memandang berat pendakwaan yang dilakukan terhadap mahasiswa UiTM Sabah di bawah Akta 174 Institusi-Institusi Pendidikan 1976 dan juga empat orang mahasiswa Universiti Malaya yang diberikan surat tunjuk sebab atas dakwaan membantah TPPA ketika kehadiran Barack Obama.
Setiausahanya, Mohd Nasaie Ismail (gambar) berkata, pendakwaan itu bercanggah dengan semangat perlembagaan negara dan pindaan yang dilakukan terhadap Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) yang memberi kebenaran kepada mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti berpolitik, bersuara dan berhimpun.
"Walaupun UiTM tertakluk kepada Akta 174 Institusi Institusi 1976, ia bercanggah dengan semangat Auku yang menaungi IPT IPT lain seluruh Malaysia.
"Di kala kerajaan meminda Auku dengan membuka ruang demokrasi kepada mahasiswa di IPT, pengecualian berlaku di UiTM dan perkara ini amat tidak rasional dan mesti dipinda segera.
"Pihak pentadbiran UiTM perlu mempertimbangkan untuk menggugurkan kesemua tuduhan yang dikenakan kepada mahasiswa terbabit," tegas beliau dalam satu kenyataan media.
Pelajar UiTM Sabah , Mohd Fathihie Gadius dikenakan 11 tuduhan kerana menggunakan facebook mengkritik masalah keselamatan universiti, membantah kes pencerobohan asrama siswi, menyatakan sokongan kepada persatuan lain tanpa kebenaran pihak universiti dan menyatakan sikapnya terhadap GST.
Fathihie juga dituduh terlibat dengan beberapa demonstrasi pelajar di UMS.
Nasaei menyifatkan kesemua tuduhan tersebut sebagai "sangat ganjil, memualkan dan merendah-rendahkan tahap intelektual mahasiswa".
Beliau mempersoalkan sama ada para pelajar UiTM perlu mendapatkan kebenaran pentadbiran sebelum menulis di facebook.
Sehubungan itu beliau menggesa pertuduhan terhadap Fathihie digugurkan bagi menjaga imej UiTM daripada di pandang rendah dunia akademik.
"Begitu juga dengan kes empat mahasiswa Universiti Malaya. Pihak pentadbiran Universiti dan kerajaan usah memalukan dunia apabila cuba bertindak terhadap pembantah TPPA tersebut.
"Dunia maju biasa dengan bantahan bantahan awam dan ia bukan sesuatu yang mengejutkan hatta Presiden US sendiri tidak terkejut dengan bantahan tersebut.
"Mahasiswa mempunyai hak sebagaimana warganegara yang lain untuk bersuara, menyatakan bantahan dan memperjuangkan hak mereka sebagai warga negara," tegas beliau lagi.
Nasaei turut menggesa agar segera meminda Akta Institusi-Institusi Pendidikan 1976 yang bercanggah dengan semangat perlembagaan yang memberi hak bersuara kepada seluruh warga negara.
Pemuda PAS, ujarnya sedia menyediakan khidmat guaman bagi kedua-dua kes melibatkan UM dan UiTM tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan