Jumaat, 16 Mei 2014

PAS kutuk serangan ke atas biarawati

ANIS NAZRI


KUALA LUMPUR: PAS mengutuk keras serangan yang berlaku terhadap dua biarawati di Seremban beberapa hari lalu, yang menyebabkan salah seorang daripadanya masih tidak sedarkan diri.

Selain menyifatkan jenayah yang berlaku hari ini sudah tidak mengenal sesiapa, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, berkata kejadian tersebut juga menunjukkan kawalan keselamatan di rumah-rumah ibadat perlu dilakukan.

"Bayangkan jika di hadapan rumah ibadat, dengan mangsanya adalah golongan agama pun sudah tidak selamat, bagaimana pula di tempat-tempat lain?" soal beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat berkata lebih dikesalkan kejadian tersebut berlaku ke atas warga emas, yang masing-masing berusia 69 dan 79 tahun itu.

Biarpun pihak polis mengatakan motif jenayah tersebut adalah samun, Mujahid beranggapan perkara sedemikian perlu diatasi secara progresif dengan meningkatkan tahap keselamatan di tempat-tempat sedemikian.

Dalam pada itu, Mujahid turut berhasrat untuk menziarahi kedua-dua biarawati berkenaan, yang dilaporkan masih dirawat dalam kunjungannya ke Seremban, 18 Mei ini.

Pada 14 Mei lalu, Sister Julianna Lim, 69, dan Sister Marie Rose alias Theresa Teng, 79, diserang dengan topi keledar dan disamun seorang lelaki kira-kira pukul 6 pagi di luar Gereja Visitation.

Mereka didapati tidak sedarkan diri di pintu masuk gereja. Kedua-duanya baru tiba dari rumah dan hendak memasuki gereja apabila diserang.

Lim yang cedera ringan di kepada dan muka masih bergantung kepada alat pernafasan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan masih belum sedarkan diri sementara Marie Rose telah sedar

Tiada ulasan: