Fiza Halim
KUALA LUMPUR : Pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tersalah langkah dalam pencarian pesawat MH370 adalah sesuatu yang amat memalukan negara, kata Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid.
Justeru kata Imran, Najib dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein wajar meletakkan jawatan.
“Nak tunggu apa lagi? Jadi PM bermaruah sikit. Macam PM Korea yang letak jawatan sebab bertanggungjawab dalam insiden feri karam melibatkan rakyat,” katanya kepada Keadilandaily.
Najib dalam tulisannya yang disiar Wall Street Journal semalam mengakui kesilapan dan menggesa negara lain mengambil pengajaran daripada insiden itu.
Najib berkata kerajaan tidak mengutamakan aspek komunikasi, malah mengakui bahawa pengendali trafik udara mengambil masa selepas empat jam untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat.
Imran yang juga bekas ketua staf Logistik Markas Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata setiap radar harus berfungsi dan merekod semua pesawat yang melalui udara.
Menurutnya, pada malam kejadian pesawat itu hilang, ia sepatutnya dikesan segera dan bukannya perlu menunggu sehingga dua atau tiga hari.
“Kalau orang yang jaga radar itu tidur sekali pun, rekod ada. Mereka tahu ke mana pesawat itu pergi. Ini maknanya mereka tak awasi, cakap nampak pesawat tapi sebenarnya tak nampak. Menipu rakyat, bagi maklumat salah.
“Najib tak tahu apa dikatakan, tak tahu apa dia lakukan. Hanya tahu ‘disuap’ sahaja. Isu ini besar melibatkan ramai nyawa. Dia langsung tak boleh urus,” kata Imran
Tiada ulasan:
Catat Ulasan