Dataran Menara Condong Teluk Intan
petang ini panas seketika apabila pertengkaran tercetus di antara
penyokong BN yang mendirikan khemah di situ, dengan penyokong Pakatan
Rakyat yang menantikan kehadiran calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dan MP
Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk sesi 'selfie' di kawasan yang
sama.
Kekecohan bermula sekitar jam 4 petang apabila penceramah BN yang
diperkenalkan sebagai pemangku Ketua AMK Perak, Faizal Effendi Hashim
berceramah di bawah khemah BN, dengan bahasa badan dan intonasi pidato
seperti ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Pada
masa sama, ceramah Faizal itu disiarkan melalui sistem pembesar suara
dengan salah satu pembesar suara dihalakan ke arah kumpulan yang menanti
kehadiran Dyana, yang berada dalam jarak kurang 10 meter dari khemah
itu.
Kira-kira sepuluh minit Faizal berceramah, seorang remaja lelaki dari
kumpulan yang menanti Dyana berjalan ke arah Faizal dengan wang kertas
RM1 dihulurkan kepadanya, isyarat untuk memperolok-olokkan beliau
sebagai individu yang boleh 'dibeli'.
Tindakan remaja itu mencetuskan kemarahan seorang penyokong BN di bawah
khemah yang meluru ke arah remaja itu dan menyuruhnya berundur ke
belakang.
Penyokong BN itu kemudian disusuli oleh beberapa orang penyokong BN lain yang turut menyerbu remaja lelaki itu.
Pada masa sama, beberapa remaja lelaki dari kumpulan penyokong Pakatan
bergegas ke arah penyokong-penyokong BN yang menyerbu remaja lelaki itu.
Tiada 'selfie', cuma bergambar
Tolak-menolak dan jerit-menjerit ke arah satu sama lain tercetus di
antara kedua-dua kumpulan tersebut selama kira-kira dua minit dengan
penyokong BN (berpakaian putih) yang mula meluru ke arah remaja itu
menjerit, "Ini kawasan Teluk Intan! Jangan buat kacau di sini!".
Keadaan kembali terkawal apabila penyokong BN itu ditarik rakan-rakannya
untuk kembali ke bawah khemah BN dan remaja lelaki penyokong Pakatan
itu ditarik jauh dari kawasan pertengkaran tercetus.
Sekitar jam 4.20 petang, Dyana Sofya tiba di Menara Condong untuk sesi 'selfie' bersama pengunjung menara itu.
Pada masa sama, kelihatan tujuh orang anggota polis dengan vest rasmi '
kelihatan berada berhampiran kawasan menara untuk mengawal keadaan.
Sesi 'selfie' bersama Dyana dihadiri kira-kira 300 orang.
mereka berebut-rebut dan bertolak-tolak untuk bergambar dengan Dyana di
hadapan replika buku yang memaparkan maklumat tentang menara itu.
Sebelum sesi bergambar bermula, Dyana sempat merakamkan penghargaan
kepada inisiatif perpustakaan indie dikenali sebagai “Buku Jalanan Seri
Manjung” yang turut berada di tepi menara itu. .
"Kenapa saya tak nak ke sana (ke tangga pintu masuk menara) dan saya berdiri di depan ini?
"Kerana di depan ini ada buku," kata Dyana sambil tersenyum dan menunjuk
ke arah replika buku dan kumpulan Buku Jalanan yang menghampar tikar di
atas dataran untuk pameran buku.
Polis neutralkan keadaan
Keadaan bagaimana pun kembali 'tegang' apabila kira-kira sepuluh orang
dengan baju-T BN mula bergerak ke sesi bergambar dan bergerak ke arah
Dyana sofya yang kini berdiri di tangga masuk ke menara keran hujan
rintik-rintik mula turun.
Polis mengekori kumpulan penyokong BN itu dan keadaan kembali aman
apabila kumpulan tersebut beredar perlahan-lahan selepas Timbalan Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Perak, ACP Fadzil Ahmat berdiri berhampiran
mereka.
Dyana
kemudian meluangkan masa selama kira-kira 40 minit sehingga jam 5
petang untuk bergambar dengan pengunjung yang beratur sepanjang
kira-kira 10 meter untuk sesi tersebut.
Beliau kemudian beredar ke satu lagi majlis untuk sesi menonton
pertandingan akhir Piala Thomas di antara Malaysia dan Jepun bermula
pada jam 5.30 petang.
ACP Fadzil dalam sidang media ringkasnya kemudian menyatakan rasa
syukurnya kerana polis berjaya meneutralkan ketegangan yang berlaku
apabila tiba segera di tempat kejadian.
"Kita berjaya meneutralkan keadaan. Awak nilai sendiri keadaan,
Alhamdulillah," katanya sambil tersenyum puas, selepas sesi taklimat
kepada anggota-anggota yang bertugas.
Hujan rintik-rintik yang berterusan dari tadi kemudian bertukar menjadi
hujan lebat, seolah-olah mahu menyejukkan ketegangan di Menara Condong
Teluk Intan, pada petang Ahad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan