Fairuz Azhan Amirruddin
Sudah tentu seteru politiknya yang berlambang dacing akan berjuang berhabis-habisan untuk memadam demam Dyana daripada merebak. Belum secara rasmi beliau diumum sebagai calon, serangan dan fitnah terhadap beliau telahpun bermula, dan kita melihat serangan terhadap beliau makin hebat dari hari ke hari.
Kemenangan Dyana di Teluk Intan bakal menyebabkan BN menggeletar. Dyana merupakan seorang calon yang tepat pada masa yang amat sesuai. Dampaknya dalam kancah arus perdana politik tanahair bakal mencipta tsunami politik yang baru.
Sekiranya Dyana berjaya memenangi kerusi Teluk Intan beliau bakal memecahkan dua rekod yang signifikan. Yang pertama, sebagai Ahli Parlimen wanita berbangsa Melayu DAP yang pertama dan, kedua, sebagai wakil rakyat termuda di Dewan Rakyat pada penggal ini.
Kesan yang pertama PR dan DAP meletakkan Dyana sebagai calon adalah beliau bakal merupakan ‘wajah’ atau ‘muka’ baru perjuangan dan lambang kepada anak muda. Pada PRU13 yang lalu, statistik menunjukkan bahawa 42% daripada jumlah pengundi merupakan pengundi muda dan baru (pengundi di bawah umur 40 tahun). Kedua-dua pihak, BN dan PR telah mengiktiraf demogarafik ini sebagai ‘king-makers’ pada pilihanraya yang lepas dan jumlah pengundi muda dan baru bakal bertambah pada PRU14 yang bakal menjelang.
Pencalonan wanita muda oleh DAP ini akan memberikan nafas baru dan segar kepada minat anak muda terhadap politik yang selama ini menganggap politik itu membosankan dan didominasi orang-orang tua. Kesan secara langsung pencalonan Dyana ini memaksa BN memikir semula strategi mereka. Bila PR buat belanjawan, BN pun nak tiru juga. Penglibatan anak muda di baris hadapan politik tanah air juga akan menyaksikan BN pun turut memberi lebih banyak peluang kepada generasi muda.
Kedua-dua PR dan BN harus sedar bahawa orang muda adalah kunci kepada kemenangan pihak masing-masing. Bukanlah satu kebetulan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merupakan insan yang paling berpengaruh di alam siber (Pemenang SHOUT Award 2013).
Rakyat Malaysia sudah bosan dengan Shahrizat Jalil dan pak menteri ala Rais Yatim. Anak muda sudah bosan dengan kenyataan-kenyataan angkuh orang tua seperti, ‘tanam sayur sendiri jika tak puas hati harga sayur naik’.
Pencalonan Dyana bakal membuka peluang dan pintu kepada anak muda yang berkecimpung dalam politik. Tambahan pula merekalah generasi dan demografik yang akan menentukan PRU14.
Perkara penting yang kedua adalah Dyana merupakan lambang kepada masa depan DAP. Menang atau kalah, pencalonan Dyana telah mendekatkan lagi orang Melayu kepada DAP. Beliau merupakan Yahoo search nombor 1 di Malaysia pada minggu pertama sejak namanya diumumkan sebagai bakal calon. Langkah berani DAP ini merupakan apa yang diidami rakyat selama ini, iaitu pemecahan tembok politik kaum.
Selama ini DAP ditohmah dan dilabel sebagai parti Cina, dan para penyokong BN sudah pasti akan mengatakan bahawa Dyana hanyalah alat untuk menutup ke’cina’an parti itu. Ada pula yang menyoal kenapa pula sekarang DAP terhegeh-hegeh untuk promosi calon Melayu. Sebenarnya bumi Perak telah melahirkan ramai pemimpin Melayu dari DAP. Ibrahim Singgeh, Fadzlan Yahya, Salleh Nakhoda Hitam adalah antara nama-nama yang cukup terkenal di kalangan golongan lebih berusia.
Ini bukan hanya sejarah silam kerana Jawatankuasa DAP Perak juga mempunyai orang Melayu dalam Jawatankuasa tersebut, begitu jua dengan barisan tertinggi Pemuda DAP atau DAPSY Perak yang mempunyai dua pemimpin Melayu dalamnya.
Hakikatnya Dyana bukan diberi peluang kerana bangsanya, tetapi bakat dan kebolehannya. DAP sebuah parti buta warna. Langkah segar meletak Dyana sebagai calon harus dipuji keberaniannya, bukan disoal keikhlasannya.
Perak merupakan negeri yang simbolik dan merupakan negeri yang menyamai ciri-ciri negara kita.
Komposisi kaum di Perak sama dengan komposisi negara. Di Perak, PR mendapat undi majoriti tetapi tewas kepada BN, sama seperti Malaysia. Perak merupakan negeri di mana terlahirnya Pakatan Rakyat, dan keputusan Teluk Intan merupakan indikator momentum penting menuju PRU14.
Sekiranya DAP memberikan peluang kepada seorang wanita 27 tahun ke Parlimen, jelas ia memberikan peluang kepada sesiapa jua asalkan berani dan sanggup berusaha tanpa melihat warna kulit.
Saya juga ingin mengajak orang Melayu dan orang muda yang lain untuk mendekati DAP dan sama-sama menyumbang ke arah demokrasi dan membuka lebaran politik baru demi tanahair kita yang tercinta ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan