Rabu, 21 Mei 2014

Tindakan calon bebas cetus kekecohan di DUN tidak langgar peraturan, kata SPR

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Pengawal Dewan Perhimpunan Negeri Pulau Pinang menghalang calon bebas pilihan raya Bukit Gelugor Abu Backer (kanan) sebelum beliau melompat ke arah kereta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 21 Mei, 2014.  
Pengawal Dewan Perhimpunan Negeri Pulau Pinang menghalang calon bebas pilihan raya Bukit Gelugor Abu Backer (kanan) sebelum beliau melompat ke arah kereta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain.  


Tindakan calon Bebas pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor Abu Backer Sidek Mohamad Zan mencetuskan kekecohan di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam tidak melanggar peraturan dalam Akta Pilihan Raya 1954.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh menyifatkan tindakan calon Bebas itu sebagai sebahagian daripada caranya berkempen dan tidak melakukan sebarang pelanggaran undang-undang.

Ditanya sama ada SPR akan menarik pencalonan Abu Backer Sidek dalam pilihan raya kecil itu, Abdul Ghani berkata: "Setakat ini kami tidak menarik pencalonannya... sebab dia sudah bayar deposit, sebaik sudah jadi calon, calon itu tidak boleh tarik diri".

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Balai Polis Air Itam hari ini.

Semalam, Abu Backer Sidek, 46, tiba di hadapan pintu pagar DUN Pulau Pinang pada 1 tengah hari untuk menghantar surat jemputan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi menghadiri ceramah penerangan anjurannya tentang hukum Hudud di Farlim, Air Itam pada 23 Mei ini.

Abu Backer Sidek dihalang sekumpulan pengawal keselamatan yang bertugas di DUN berkenaan daripada bertemu ketua menteri, ekoran itu beliau bertindak menahan kereta dinaiki Lim bersama-sama pembantunya yang ketika itu mahu meninggalkan dewan.

Berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu kereta Lim yang tidak mahu berhenti, beliau nekad meluru ke arah kereta itu dan 'terjatuh' di atas jalan raya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

"Setakat ini tidak terima apa-apa laporan," katanya. – Bernama,

Tiada ulasan: