Rabu, 21 Mei 2014

Dyana dapat sokongan penuh DAP Perak, kata penasihat negeri

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Calon DAP bag Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud dengan ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua semasa sidang media di pelancaran Pusat Ops di Pekan Baru hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Mei, 2014.  
Calon DAP bag Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud dengan ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua semasa sidang media di pelancaran Pusat Ops di Pekan Baru hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.  


DAP Perak menafikan spekulasi bahawa parti di negeri itu kini di ambang perpecahan selepas Dyana Sofya Mohd Daud dipilih sebagai calon parti bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, seluruh pemimpin DAP negeri akan memberi sokongan sepenuhnya dan berkempen demi kepentingan alumni UiTM itu menjadi wakil rakyat bagi Teluk Intan.

“Memang dia dapat sokongan sepenuhnya DAP Perak. Saya akan sepenuh masa di sini setiap hari.
“Seluruh jawatankuasa di negeri Perak diminta memberi sokongan, masa dan kewangan sepenuhnya,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pencalonan Dyana Sofya sebagai calon DAP bagi Parlimen Teluk Intan dibuat bagi menutup perpecahan dalaman DAP Perak membabitkan kumpulan Nga Kor Ming dan M Kulasegaran yang bertelagah.

Ngeh berkata Dyana Sofya adalah calon negeri yang paling layak dan tidak terlalu muda untuk menjadi wakil rakyat di Teluk Intan.

Katanya, DAP Perak sememangnya mempunyai calon lain, tetapi pimpinan parti sepakat untuk memilih Dyana Sofya sebagai wakil kepada parti.

“Sebenarnya 27 tahun bukan muda lagi. Jika seseorang itu sudah bergraduasi daripada universiti, orang itu sememangnya sudah bersedia, berkaliber, pandai dan mempunyai minda yang hebat.

“(Kami) memang ada ramai calon lain, tetapi ini calon terbaik,” katanya semasa berkempen menemui pengundi di sekitar Teluk Intan,” katanya.

Ahli Parlimen Beruas itu berkata perpecahan dalaman DAP tidak timbul kerana pemimpin di negeri itu sudah diberi taklimat bahawa Dyana akan menjadi calon di kawasan itu.

“Ahli DAP memang tahu. Kita pun terima. Sebelum penamaan calon, pucuk pimpinan mendengar semua pandangan semua pihak dan membuat keputusan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata Dyana Sofya adalah harapan bangsa dan negara serta mampu menghentikan politik perkauman yang dimainkan Barisan Nasional (BN).

“Dyana adalah calon paling layak, mempunyai ciri-ciri ahli Parlimen berwibawa dan harapan bangsa dan negara.

“Beliau suara generasi muda, teladan yang baik untuk menghentikan politik perkauman,” katanya di Bilik Gerakan DAP di Teluk Intan hari ini.

Ketika ditanya adakah pemimpin parti negeri yang merajuk selepas Dyana dipilih sebagai calon, Nga berkata: “Tiada yang merajuk. Kita semua satu keluarga."

Tiada ulasan: