Rabu, 21 Mei 2014

Dyana Sofya bimbang dengan kadar jenayah, seru Putrajaya tubuh IPCMC

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan dari DAP, Dyana Sofya Mohd Daud di Pekan Baru hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Mei, 2014. 
Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan dari DAP, Dyana Sofya Mohd Daud di Pekan Baru hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim


Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan dari DAP, Dyana Sofya Mohd Daud menyeru pasukan polis agar segera membanteras kegiatan jenayah memandangkan situasi jenayah yang membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Dyana Sofya, 27, dalam satu kenyataan hari ini berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) seharusnya meningkatkan profesionalisme dan kecekapan pasukan tersebut, dan meletakkan lebih banyak sumber-sumbernya untuk membanteras jenayah di negara ini demi mengurangkan aktiviti jenayah yang melampau di negara ini.

"Berdasarkan kajian yang dilakukan DAP dua minggu lalu di Teluk Intan, jenayah adalah isu serius yang merunsingkan pengundi di kawasan ini.

"Jenayah dan masalah sosial berada di kedudukan kedua tertinggi antara masalah yang ditimbulkan oleh mereka yang menjawab soalan tinjauan," katanya.

Beliau turut memberi komitmen kepada pengundi Teluk Intan, untuk menyeru dengan tegas supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ditubuhkan.

"Ia demi memastikan integriti dan kecekapan pasukan polis akan diperbaiki, serta hak-hak rakyat Malaysia akan dilindungi," katanya.

Menurut Dyana Sofya, beliau berharap agar jenayah keji yang melibatkan kematian biarawati sebuah gereja di Seremban tidak berulang.

"Kita berharap kes yang diklasifikasikan pihak polis sebagai kes bunuh akan dapat diselesaikan dengan kadar segera, supaya episod yang menyayat hati ini berakhir dan keadilan ditegakkan," katanya.

Biarawati Juliana Lim, 69, meninggal dunia akibat serangan peragut di gereja Church of Visitation, Seremban baru-baru ini.

Dyana Sofya turut menambah, walaupun pasukan polis mempunyai lebih daripada 120,000 anggota, kurang daripada 10,000 anggota polis dikhaskan untuk membanteras jenayah, jumlah anggota Cawangan Khas, yang dikhaskan untuk "melindungi" ahli politik hampir sama banyaknya dengan Jabatan Siasatan Jenayah.

"Apa yang lebih perlu distruktur semula adalah hakikat bahawa lebih 40% daripada jumlah anggota polis ditempatkan di bawah ‘pengurusan’, ‘administratif’ dan ‘logistik’, sementara 30% lagi ditugaskan dalam pasukan keselamatan seperti Federal Reserve Unit (FRU), Light Strike Force dan Pasukan Gerakan Am," katanya.

Tambahnya lagi, jenayah ganas ini juga menyorot betapa seriusnya keadaan jenayah di negara ini, yang membuatkan ramai rakyat Malaysia, terutamanya wanita ketakutan dan risaukan keselamatan mereka.

Tiada ulasan: