MALAYSIAKINI
MH370 Bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad mempersoalkan kekurangan penjelasan pihak Boeing sejak
tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, dengan
mendakwa selagi syarikat itu tidak berbuat demikian, maka keselamatan
pesawatnya adalah meragukan.
"Banyak perkara yang perlu dijawab oleh Boeing. Sehinggalah pesawat itu
ditemui dan punca kegagalan peralatan komunikasi dan kehilangannya dapat
dijelaskan sepenuhnya, maka seseorang itu mesti membuat kesimpulan
bahawa adalah berbahaya untuk terbang dengan pesawat Boeing," katanya
dalam catatan di blog pagi ini.
Mahathir berkata walaupun sistem komunikasi pesawat Boeing dibekalkan
oleh kontraktor dan vendor, tetapi Boeing bertanggungjawab bagi
pemasangan, pengujian dan persijilannya.
"Dalam kes MH370, satu perkara yang kita tahu dengan pasti adalah tidak
ada komunikasi selepas pembantu juruterbang berkata 'All right, good
night'... Dalam erti kata lain komunikasi terputus langsung.
"Bagaimana ini mungkin boleh! Juruterbang boleh mematikannya! Adakah
sistem komunikasi dalam sebuah pesawat Boeing 777 begitu mudah untuk
dimatikan? Adakah tiada (sistem) sokongan?" katanya.
Mahathir mengeluh bahawa Boeing 'begitu membisu" berhubung kegagalan sistem komunikasi dalam pesawat Boeing tersebut.
"Jika ini boleh berlaku kepada MH370, Boeing 777, maka adakah ianya
selamat untuk terbang dalam pesawat itu? Bila pula pesawat lain akan
hilang?" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan