MALAYSIAKINI
Seorang lelaki berpangkat 'Datuk' kerugian hampir RM50,000 apabila
rumahnya di Bukit Jelutong di Shah Alam disamun empat lelaki disyaki
warga asing dalam satu kejadian awal semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintenden Ruslan Abdullah
berkata ketika kejadian pada kira-kira 4 pagi, suspek memasuki banglo
tiga tingkat milik mangsa selepas mengumpil pintu gelangsar di depan
kediaman berkenaan.
Beliau berkata rumah mangsa tidak dilengkapi sistem kamera litar
tertutup atau alat penggera namun terdapat pengawal keselamatan di pintu
masuk kawasan taman perumahan itu.
Ruslan berkata beliau percaya suspek membolosi pagar kediaman itu
melalui kawasan semak di belakang banglo berkenaan dan menyerbu bilik
tidur utama sebelum mengejutkan mangsa serta isterinya yang sedang tidur
dengan mengacukan senjata berupa pemutar skru panjang.
"Setelah menggeledah bilik mangsa, suspek turut dipercayai mengarahkan
Datuk tersebut membuka sebuah peti besi miliknya di dalam bilik itu yang
menyimpan beberapa barang berharga.
"Seorang suspek pula telah membawa isteri mangsa ke bilik tidur ibunya
di tingkat tiga dan mengugut untuk memukul kedua-duanya jika tidak
menyerahkan barang berharga kepada mereka," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek memakai topeng ski hitam
dan bersarung tangan menyebabkan mangsa tidak dapat mengecam identiti
mereka.
Ruslan juga berkata suspek kemudian melarikan diri bersama barang kemas
bernilai RM30,000 selain beberapa utas jam tangan pelbagai jenama dan
mata wang pelbagai negara melalui pagar belakang banglo itu berikutan
kawasan luarnya dipenuhi semak.
Katanya, polis sedang memburu kesemua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan