TELUK INTAN: DAP Perak hari ini melancarkan kempen ‘Seorang Seringgit’ bagi mengumpulkan dana untuk kegiatan sepanjang kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata, sumbangan orang ramai amat dialu-alukan bagi melicinkan perjalanan PRK kerana parti itu bukan seperti UMNO yang memiliki banyak sumber dana.
“Dari segi kebendaan, kita memang kurang berkemampuan dan ‘underdog’, sebab itu kita melancarkan kempen ini.
“Sumbangan tidak hanya berbentuk wang ringgit tapi boleh juga diberikan dalam bentuk pemidang, alat tulis, poster dan sebagainya.
“Sebagai permulaan, saya akan mendermakan RM10 ribu,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi DAP PRK Teluk Intan, tengah hari tadi.
Hadir sama dalam sidang media ialah Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar, Calon PRK Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar Terence Naidu dan pimpinan lain. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan