Ahad, 4 Mei 2014

Azmin Enggan Ulas Dakwaan Terlibat Manipulasi Undi Pemilihan PKR

MSTAR ONLINE


Azmin Ali

Azmin Ali.


BUTTERWORTH: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali enggan mengulas dakwaan beliau terlibat dengan perbuatan memanipulasi undi dalam pemilihan parti itu yang berlangsung sekarang.

Anggota Parlimen Gombak itu sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR untuk menyiasat dakwaan terbabit dan berharap individu terlibat dikenakan tindakan tegas.

"Buat masa sekarang, saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai dakwaan berkenaan, biar Jawatankuasa Pemilihan Pusat yang siasat perkara itu.

"Hendak siku boleh, tapi janganlah sampai jatuh," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan anggota PKR Pulau Pinang di sini, Sabtu.

Pemilihan PKR, yang bermula Sabtu lepas, dicemari pelbagai insiden seperti bekalan elektrik terputus, dakwaan manipulasi undi, perubahan lokasi mengundi pada saat akhir dan masalah teknikal.

Keadaan menjadi semakin panas apabila seorang pemimpin PKR Badrul Hisham Shahrin mendakwa kumpulan penyokong Azmin memanipulasi undi.

Ketika ini, Azmin mendahului dua pencabarnya apabila memperoleh 5,111 undi berbanding Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (2,288) dan Datuk Saifuddin Nasution (2,322).

Azmin berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan berhubung nasibnya dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR.

"Saya mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Kita lihat perkembangannya sehingga pemilihan berakhir (11 Mei ini)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azmin menafikan PKR akan meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini.

Tiada ulasan: