Rabu, 23 Oktober 2013

Nazri: Jangan bangkit lagi kes kalimah 'Allah'



Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz berkata golongan Kristian perlu menghormati adat dan tradisi berbeza di semenanjung dalam isu penggunaan kalimah 'Allah' dan tidak membangkitkan lagi soal keputusan mahkamah.

Katanya, keadaan itu berbeza di Sabah dan Sarawak kerana kalimah 'Allah' telah digunakan oleh penganut Kristian sejak 100 tahun dahulu.

NONE"Ia tidak pernah diamalkan di Semenanjung Malaysia. Sebab itu saya bantah (penggunaan kalimah 'Allah'). Saya tidak peduli apa orang kata.

"Kalau kita risau Kristian di Semenanjung akan demonstrasi (membantah), kita juga perlu risau orang Islam akan buat perkara yang sama.

"Jadi jangan bangkit perkara ini. Bagi (penganut) Kristian dari Sabah dan Sarawak, mereka datang ke sini (Semenanjung) mereka perlu ikut adat dan tradisi (di sini)," katanya.

Begitu juga apabila penduduk Semenanjung pergi ke Sabah dan Sarawak, katanya.

Tambahnya, warga Semenanjung Malaysia perlu menghormati peraturan di negeri tersebut termasuklah menunjukkan pasport untuk memasuki negeri itu kerana perkara itu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa di sana.

Nazri yang juga bekas menteri undang-undang berkata tiada dalam enakmen ataun undang-undang di kedua-dua negeri tersebut untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah.

"Negara ini semuanya berkaitan undang-undang, sekiranya tiada undang-undang, kamu boleh lakukan. Tetapi di semenanjung, kamu tidak boleh lakukan. Kita tahu, amalan di sini bahawa (umat) Islam menggunakan Allah itu merujuk kepada tuhan mereka.

"Adalah salah bagi pihak Roman Katolik di sini untuk menggunakan Allah (sebagai Tuhan). Itu tidak betul sama sekali. Bible di semenanjung dalam bahasa Inggeris, tidak pernah dalam bahasa. Amalan di sini (semenanjung), Allah merujuk kepada tuhan bagi orang Islam," katanya.

'Punjabi, Hindu jangan campur'


Nazri berkata beliau turut mendengar rungutan bahawa orang Kristian tidak boleh menyanyikan lagu negeri yang menggunakan perkataan "Allah selamat Sultan".

Beliau yang juga ketua Umno Padang Rengas menyifatkan ia sekadar lagu dan tidak merujuk kepada Allah itu adalah tuhan mereka.

churchOleh itu, katanya, sekiranya kumpulan tersebut menggunakan perkataan "Jesus selamatkan Sultan", ia boleh mengundang kemurkaan baginda.

"Bila kita menggunakan "Allah Selamatkan Sultan" merujuk kepada Sultan sebagai orang Islam. Kalau kamu bukan Islam, orang Johor, kamu mahu menyanyi lagu negeri, itu OK, sebab kamu merujuk kepada Allah selamatkan Sultan.

"Kamu tidak boleh nyanyi, Kuang Ying selamatkan Sultan, Siva selamatkan Sultan, tak bolehlah. Sultan adalah Muslim. Jangan beri alasan.

"Saya beri amaran kepada Sabah dan Sarawak mereka datang ke sini, hormati adat dan tradisi di sini seperti mana kami hormati adat dan sensitiviti di kedua-dua negeri," katanya.

Nazri juga berharap kumpulan selain penganut Kristian - seperti Punjabi atau Hindu - agar tidak masuk campur dalam perkara ini demi menjaga sensitiviti semua pihak, memandangkan isu itu berkaitan orang Islam dan orang Kristian.

Tiada ulasan: