Jumaat, 11 Oktober 2013

Konspirasi dalam pilihan raya kampus UKM?

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mempersoal sikap Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang dilihat cuba menyembunyikan tarikh Pilihan Raya Kampus (PRK) UKM kepada mahasiswa.

Pengerusi GMUKM Abdullah Sani Bin Hashim berkata, jelas terbukti wujudnya konspirasi HEP apabila pengumuman dibuat dalam suasana kebanyakan pelajar pulang ke kampung sempena cuti semester dan cuti Hari Raya Aidiladha.

HEP UKM hari ini mengumumkan hari pengundian pada 23 Oktober manakala penamaan calon pada 18 Oktober.

“Pembelian borang bermula serta merta sedang kebanyakan pelajar sudah pulang ke kampung.

“Kejutan mengadakan PRK sebaik tamat cuti Aidil Adha untuk mengelakkan persediaan di peringkat mahasiswa,” katanya dala kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau juga turut mempersoal syarat bahawa setiap calon yang ingin bertanding mesti mempunyai sijil Bengkel Kepimpinan Pelajar HEP yang hanya diadakan sebaik habis cuti iaitu pada 17 Oktober sedangkan keesokannya sudah penamaan calon.

Waktu yang singkat tersebut ujarnya akan menyukarkan pihak calon yang ingin bertanding untuk membuat persiapan.

Abdullah berkata, perkara ini berbeza dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang boleh membuat pengumuman seminggu lebih awal.

Katanya, walaupun tarikh membuang undi berbeza sehari dengan UKM tetapi UIAM sudah membuat pengumuman rasmi walaupun membuang undi hanya pada 30 Oktober nanti.

“Kita bukan tak tahu Aspirasi Mahasiswa turun Kursus Penampilan Kepimpinan Siri II hujung minggu lepas.

“Inilah proses pilihan raya yang paling dangkal dan senget di dalam sejarah PRK UKM.

Namun kita tahu Aspirasi terpaksa bergantung kepada sistem berat sebelah ini sebagai talian hayat terakhir mereka,” katanya.

Tiada ulasan: