Rabu, 9 Oktober 2013

Khabar ‘konspirasi penyandang' GEGARKAN UMNO: Calon-calon pilihan presiden mungkin JATUH

Oleh Nawawi Mohamad, Stan Lee, Malaysia Chronicle



KUALA LUMPUR - Walaupun pernah digantung oleh Umno, berikutan penglibatannya dalam politik wang pada tahun 2009, bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam berkata peluangnya untuk memenangi salah satu daripada 3 kerusi naib presiden dalam pemilihan parti yang akan datang sebagai "sangat cerah".

Menurut agensi berita nasional Bernama, Ali berkata dia yakin menang walaupun ada khabar angin tentang konspirasi untuk mengekalkan penyandang yang sedia ada.

"Semua calon-calon mempunyai rekod yang baik, begitu juga dengan saya. Sekarang Umno sedang menjalani proses transformasi dan mengamalkan demokrasi yang lebih luas dengan membenarkan lebih banyak perwakilan untuk memilih pemimpin. Saya rasa saya mempunyai peluang yang sama untuk menang," Bernama melaporkan Ali Rustam sebagai berkata.

Dia bercakap kepada pemberita selepas upacara menerima Ijazah Sarjana dalam Kesusasteraan di Universiti Malaya pada hari Rabu.

Masih marah dengan kejadian ‘sabotaj’

Walaupun bekas orang kuat Melaka yang berprofil tinggi ini nampaknya sedang hidup selesa, dia seolah-olah belum puas lagi. Antara sebabnya adalah, mengikut pemberi maklumat dalaman Umno, dia masih sangat marah dan berdendam terhadap "beberapa orang dalam Umno" yang bertanggungjawab atas kekalahannya pada pilihan raya umum 5 Mei yang lalu.

Ali Rustam dikalahkan oleh Shamsul Iskandar Akin dari PKR dan telah menyalahkan sabotaj dari dalam parti berikutan kekalahan tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Presiden Umno, telah cuba untuk menenangkan keadaannya dengan melantik Ali sebagai ketua unit pelaburan Melayu PUNB serta menyokong perlantikannya sebagai ahli senator Melaka.

Ada yang mungkin berkata bahawa Ali begitu 'tamak' dan mahukan lebih dari itu. Namun, lelaki berusia 64 tahun yang bercita-cita tinggi ini tidak mungkin hilang dengan begitu sahaja.

Walaupun terpaksa berhenti akibat tuduhan politik wang dalam pemilihan parti sebelum ini, di mana dia telah bertanding untuk jawatan timbalan presiden, Ali kini mahukan sekurang-kurangnya jawatan Naib Presiden.

"Baginya, ia seperti dirinya telah ditikam dari belakang sebanyak dua kali. Dia secara terang-terangan 'dipaksa' untuk keluar dari perebutan jawatan no 2 tertinggi itu pada tahun 2009 untuk membolehkan Muhyiddin Yassin menang. Kemudian pada pilihan raya umum baru-baru ini, beberapa pihak dalam Umno nampaknya membayar wang yang banyak untuk mendapatkan pengundi untuk mengundi pembangkang di konstitusinya," kata seorang pemerhati Umno kepada Malaysia Chronicle.

‘Konspirasi penyandang’

Jelas daripada komen Ali bahawa dia akan melakukan apa sahaja demi mencabar penyandang kerusi Zahid Hamidi , yang juga Menteri Dalam Negeri , Shafie Apdal, Menteri Luar Bandar, dan Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan yang juga merupakan sepupu Najib.

"Konspirasi " tentang penyandang kerusi telah dispekulasi selama beberapa bulan dan Najib sendiri telah meminta ahli-ahli untuk memilih "kestabilan" yang dikatakan sebenarnya bermakna bahawa dia memberi sokongan kepada penyandang kerusi yang sedia ada.

Khabar angin ini bertuip kencang untuk memastikan bahawa asas kuasanya kekal utuh, terutamanya mengenai sepupunya Hishammuddin, Najib telah menawarkan Ali Rustam jawatan PUNB yang lumayan serta memberi sokongan ke atas perlantikan Ali Rustam sebagai Senator di Dewan Undangan Negeri Melaka.

Pemerhati Umno berkata tidak ada tanda-tanda yang lebih jelas lagi ditujukan kepada Ali Rustam iaitu pelantikannya sebagai Senator adalah kerana Najib mahu dia keluar dari politik persekutuan.
Tetapi Ali Rustam nampaknya tidak menurut perintah, sekurang-kurangnya tidak secara terbuka.

Politik, terutamanya dalam pecahan-pecahan Umno, penuh dengan tipu muslihat dan pengkhianatan. Apa yang sebenarnya berlaku di belakang tabir, apa tawaran kepada Ali dan dengan siapa dia berunding masih tidak diketahui dan belum nyata.

Calon-calon pilihan presiden mungkin jatuh umpama 'Humpty-Dumpty'

Selain daripada Ali, pencabar lain adalah Menteri Besar Kedah , Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Felda, Isa Samad.

Mukhriz disokong oleh bapanya, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang juga orang kuat , manakala Isa juga mempunyai rekod tercemar sama seperti Ali Rustam.

Isa digantung daripada Umno kerana telah membeli undi untuk mengekalkan jawatannya dalam pemilihan Umno yang sebelumnya. Walau bagaimanapun , Isa mempunyai sokongan akar umbi sendiri dan merupakan calon yang popular walaupun pernah digantung akibat rasuah.

Mukhriz kini nampak gemilang dengan publisiti media yang positif, tidak mustahil, ayahnya Mahathir telah memainkan peranan besar di sini.

Akan tetapi, sama ada Mukhriz benar-benar boleh merebut salah satu jawatan Naib Presiden masih belum boleh dipastikan . Begitu juga dengan Ali Rustam dan Isa Samad.

Kesemua 3 pencabar seolah-olah memberi tumpuan yang serius dalam kempen mereka dan penyandang – walaupun merupakan 'orang-orang presiden' - mungkin akan mendapati dirinya dalam pertandingan yang sengit.

Kekalahan dan pertukaran penyandang tidak boleh dinafikan akan berlaku pada peringkat ini , menurut sumber dalaman Umno yang semakin teruja menghampiri 19 Oktober, hari pengundian itu nanti.

Translated by Huzainah A Rani, Malaysia Chronicle

Tiada ulasan: