Selasa, 22 Oktober 2013

Kaukus Ahli Parlimen Wanita desak RUU Kanun Keseksaan ditarik

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Kaukus Ahli Parlimen Wanita sepakat untuk mendesak agar notis pindaan ke atas Rang Undang-undang Kanun Keseksaan Pindaan (2013) yang sedang dibahaskan dalam Dewan Rakyat ditarik balik.

Menurut Timbalan Pengerusi Kaukus, Fuziah Salleh, penarikan itu penting bagi membolehkan rang undang-undang yang menyentuh hak dan keganasan terhadap wanita dapat dibuat secara menyeluruh.

Katanya, pindaan ini akan dilihat dalam konteks lebih besar terutama Akta Keganasan Rumah Tangga dan juga mungkin ada akta-akta lain yang boleh diguna bersama.

Fuziah

“Pindaan dalam jawatankuasa sebelum ini tidak akan diteruskan, itu keputusan kami,” kata Fuziah pada sidang media di Bilik Taklimat di Parlimen hari ini, lapor Harakah Daily.

Notis pindaan itu telah dihantar kepada yang di Pertua Dewan Rakyat pada 18 Oktober lalu oleh Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Kaukus sebelum ini bercadang untuk memotong beberapa pengecualian berkenaan definisi rogol, mengikuti pusat pemulihan kaunseling sebagai satu mandatori, serta memasukkan satu fasal tambahan berkenaan ‘menghendap’ yang dicadangkan sebagai satu kesalahan dalam Kanun Keseksaan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan wakil NGO wanita dan pihak Peguam Negara.

Bagaimanapun, katanya, mereka akan mengadakan perbincangan bersama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada minggu hadapan bagi memperhalusi akta tersebut untuk dimasukkan dalam akta lain yang lebih relevan.

Tambahnya, mereka amat berbesar hati kerana kesudian Peguam Negara untuk berbincang perkara ini lebih mendalam.

“Kita menerima cadangan Peguam Negara untuk membincangkan ditahap yang lebih holistik, dan bukan setakat pindaan yang dibentangkan dalam Dewan,” katanya.

Turut bersama dalam sidang media itu, Pengerusi Kaukus yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahamud, dan beberapa NGO Wanita.

Rang Undang-undang Kanun Keseksaan Pindaan (2013) dibahas bagi memperkukuh undang-undang dengan kesalahan baru yang disasarkan pada kumpulan jenayah terancang, menambah kesalahan dalam Bab VI (iaitu kesalahan terhadap negara) dan VI (a) (kesalahan berhubung dengan keganasan).

Turut dibahaskan, peruntukan berkenaan kesalahan seksual dan perbuatan keganasan oleh pasangan yang meliputi beberapa kesalahan baru dan juga menaikkan penalti bagi kesalahan sedia ada, menaikkan penalti bagi kesalahan yang berhubungan dengan khianat dan kesalahan baru mengenai vandalisme.

Tiada ulasan: