Jumaat, 18 Oktober 2013

Calon PR PRK DUN Sungai Limau diumum 21 Okt


PRK DUN Sungai Limau



PETALING JAYA: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau akan diumum Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 21 Oktober ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali, berkata majlis pimpinan Pakatan Rakyat mempersetujui calon itu dan yakin dapat mempertahankan kerusi yang disandang sebelum ini oleh mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Kita punya calon yang sudah diputuskan oleh PAS dan dah dikemukakan pada pimpinan Pakatan Rakyat dan dipersetujui dan akan diumumkan pada 21 haribulan ini,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, jentera PAS di Kedah akan diketuai oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, PAS sentiasa bersiap sedia dan bekerja keras untuk menangkis setiap hujah yang akan dimainkan oleh Umno-BN sepanjang tempoh berkempen PRK itu.

Pada PRU-13 lalu, Allahyarham Ustaz Azizan memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,774 undi menerusi pertandingan empat penjuru.

Sementara itu, PRK DUN Sungai Limau akan berlangsung pada 4 November ini.

Tiada ulasan: