KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) hari ini hanya membentangkan ringkasan Bajet alternatif 2014 untuk mengelak ia ditiru UMNO/Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang berlaku pada pembentangan Bajet 2013 lalu.
Bajet Pakatan Rakyat kali ini memberi fokus kepada tiga teras utama merangkumi pengukuhan kedudukan fiskal negara dan memperkasakan kewangan awam, pembangunan ekonomi seimbang, inklusif, mampan serta peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Bajet PR 2014 itu sudah dimuktamadkan semalam dan akan dibentangkan sepenuhnya Khamis ini.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengukuhan kedudukan fiskal negara amat penting dalam memastikan kesinambungan kedudukan kredit negara yang kini dihadapi kemungkinan penurunan taraf (sovereign downgrade) akibat penambahan defisit dan hutang negara.
Menurut beliau, Bajet PR 2014 adalah usaha untuk memperkenalkan reformasi fiskal yang akan memastikan pencapaian defisit bajet pada kadar tiga peratus GDP 2015, seterusnya mencapai lebihan bajet (budget surplus) selewat 2018.
“Reformasi fiskal ini akan membolehkan Malaysia keluar daripada kemelut hutang yang kini melebihi RM500 bilion dan kos pembayaran hutang melebihi RM20 bilion setahun.
“Ia juga menjamin ekonomi berdaya tahan dan anjal dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar serta tidak menentu.
“Reformasi fiskal juga dapat memastikan pertumbuhan ekonomi beralih daripada berasaskan pinjaman kepada yang dijanakan oleh aktiviti kerajaan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
PR juga meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk 2014 pada kadar 5.2 peratus berbanding 2013 pada kadar 4.5 peratus hingga 5 peratus berdasarkan ramalan peningkatan ekonomi global.
Bagi menjana pendapatan kerajaan lebih saksama dan adil, PR akan menangguhkan implementasi GST yang dilihat lebih membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Anwar yang juga Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh menegaskan keputusan untuk hanya membacakan ringkasan Bajet adalah bertujuan mengelak daripada ditiru UMNO/BN.
“Kita tidak kisah jika mereka (UMNO/BN) mencuri idea bajet, tapi harus ada pengakuan atas peniruan itu,” tegasnya.
Pada sidang media yang sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Bajet PR juga menekankan kepada langkah pendidikan menyeluruh termasuk di pendalaman Sabah dan Sarawak.
“Agak mengecewakan sepanjang penubuhan Malaysia yang merangkumi Sabah dan Sarawak, mereka khususnya di pendalaman masih ketinggalan daripada segi pengetahuan serta pendidikan.
“Untuk menambah baik kualiti dan mutu pendidikan dengan menubuhkan sekolah vokasional yang berbeza daripada sistem sedia ada. Kita mencadangkan lima sekolah di sana untuk memenuhi kehendak pelajar termasuk sekolah untuk warga OKU,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Parlimen DAP Bagan itu turut menyarankan agar liputan SOCSO harus diperluaskan kepada pekerja di Malaysia.
“Liputan SOCSO hendaklah diperluaskan, di mana skim insurans untuk mereka perlu dilindungi sepanjang 24 jam bukan hanya pada waktu bekerja.
“Jumlah bayaran perlu dilipat ganda dengan sumbangan serampang tiga mata iaitu pekerja, majikan dan kerajaan pusat.,” ujarnya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan