Penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus terbabit dalam kemalangan apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Kampung Pengadang Baru di Kuala Terengganu hari ini.
  
Dalam kemalangan kira-kira jam 7.45 pagi itu Ustaz Azhar dan isterinya selamat dan tidak mengalami kecederaan manakala pemandu sebuah lagi kereta dan anak saudaranya cedera dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ).
  
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata kemalangan itu berlaku ketika Ustaz Azhar atau nama sebenarnya Zamrul Idrus, 49, dan isterinya dalam perjalanan ke Bukit Payung di Marang.
  
"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta jenis Volkswagen Golf GTI yang dipandu Ustaz Azhar bertembung dengan kereta Proton Iswara dari arah bertentangan. Dia dan isterinya tidak mengalami kecederaaan.
  
"Pemandu kereta Proton Iswara, Che Daek Abdul Rahman, 58, mengalami kecederaan di bahagian dada manakala anak saudaranya, Iskandar Mohd Saidi, 12, bengkak di kepala akibat terhantuk dan luka di tangan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
  
Zamri berkata Ustaz Azhar membuat laporan polis pada kira-kira jam 11 pagi di Balai Polis Trafik Daerah Kuala Terengganu dan telah memberikan keterangan berhubung kemalangan itu.
  
Sementara itu, Ustaz Azhar ketika ditemui pemberita enggan mengulas berhubung kemalangan itu.
- Bernama