Timbalan
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar
berkata suruhanjaya itu mungkin akan memperkenalkan undang-undang baru
berkenaan daftar pemilih.
Beliau berkata ia merupakan antara hasil perbincangan bersama kakitangan SPR dalam pemukiman selama seminggu di Shah Alam minggu lalu.
Dalam pemukiman itu, warga SPR meneliti kelemahan yang wujud dalam undang-udang berhubung daftar pemilih, dan akan mengusulkan beberapa pindaan.
"Jika terlalu banyak pindaan perlu dilakukan, adalah lebih baik satu undang-undang baru pendaftaran pemilih diperkenalkan," katanya.
Menurutnya lagi, SPR akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk mencapai ketetapan sama ada meminda undang-undang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baru daftar pemilih.
Beliau menjangkakan perkara tersebut akan dimuktamadkan dalam tempoh masa kira-kira tiga bulan.
"Kita mungkin memansuhkan Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 kerana kita menerima begitu banyak rungutan sejak sepuluh tahun lepas.
"Sekarang ini kita tidak boleh membersihkan senarai pemilih melainkan mereka yang merungut tampil ke hadapan beserta MyKad mereka (yang bermasalah namanya dalam daftar pemilih)," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas lanjut gesaan MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi BERSIH, Datukk S Ambiga agar SPR membersihkan dahulu daftar pemilih sebelum melakukan persempadanan pilihan raya.
Menjawab soalan wartawan kemudiannya, Wan Ahmad mengakui pembersihan daftar pemilih adalah keutamaan yang diberikan tumpuan oleh SPR.
Perkara tersebut katanya akan dilaksanakan sebelum persempadanan semula yang dituntut oleh Perlembagaan dilakukan SPR.
"Kita akan bersihkan daftar pemilih sebaik mungkin sebelum persempadanan semula," katanya.
Beliau bercakap kepada wartawan selepas ucapan dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ketujuh di Kuala Lumpur pagi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan