Selasa, 20 Ogos 2013

Demokrasi ‘Mati’ dalam Umno


johari abdul-umno

SHAH ALAM,– Kesediaan Umno untuk membuat perubahan dalam pemilihan agung parti Oktober ini dilihat tidak mampu diterjemahkan memandangkan masih ada permintaan ahli untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Keadaan ini nyata meletakkan Umno ditakuk lama meskipun melaungkan agenda perubahan parti agar terus kekal relevan dalam politik tanah air.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, peraturan baru pemilihan Umno yang menetapkan sesiapa ingin bertanding perlu mempunyai pengalaman menjawat jawatan tertinggi di dalam sekurang-kurangnya tiga penggal boleh menggagalkan usaha menaikkan calon berwibawa.

“(Keadaan ini) sekaligus mematikan proses demokrasi dalam parti tersebut kepada pendatang baru yang tidak boleh bertanding seperti anak mantan Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir,” katanya kepada Tv Selangor.

Sebelum ini beberapa tokoh akademik membuat saranan agar dua jawatan tertinggi Umno tersebut dipertandingkan bagi membuktikan parti tersebut benar-benar demokrasi.

Namun isu tersebut cuba ditenggelamkan dengan kenyataan balas beberapa pemimpin Umno yang menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ini disebabkan bimbang berlakunya perpecahan dalam parti.

Menurut Johari, sikap pemimpin-pemimpin Umno yang tidak berani membawa perubahan dalam parti membuktikan parti tersebut semakin berundur kebelakang.

“Ini membuktikan Umno tidak mempunyai apa-apa agenda besar untuk membawa perubahan terhadap parti tersebut selain tidak memberi ruang kepada muka baru menerajui parti itu.” kata Johari

Umno dijangka akan mengadakan pemilihan pimpinan tertinggi dan Majlis Tertinggi (MT) pada 19 Oktober ini.

Kali terakhir dua jawatan tinggi tersebut dipertandingkan ialah pada 2009 lalu.

Tiada ulasan: