Akhir-akhir ini kedengaran di sana sini yang MCA sedang menguruskan
rundingan supaya semua parti yang didominasi kaum Cina bersatu menjadi
satu entiti politik yang berkesan.
Khabarnya Gerakan bersetuju untuk mengabungkan partinya dengan
kedua-dua parti Cina itu dengan hanya meminta satu syarat iaitu, MCA
perlu menjadikan parti itu sebagai parti yang 'multiracial' seperti
Gerakan dan SUPP. Chang Ko Yuon meminta MCA supaya menjadikan parti itu
sebagai sebuah parti 'multiracial' kerana parti yang berdasarkan kepada
bangsa sudah tidak relevan lagi.
Jika usaha menggabungkan parti itu berjaya maka jumlah keahlian
parti-parti dalam BN akan berkurangan menjadi 12 sahaja dan ini akan
memudahkan lagi mentadbir BN pada masa akan datang. Saya dikhabarkan
yang usaha penggabungan ini adalah satu-satunya cara bagi mengembalikan
sokongan rakyat kepada kepada parti yang didominasi kaum Cina.
Penggabungan ini satu tindakan perubahan drastik dan ia menampakkan
pimpinan parti-parti ini serius dan ini sebenarnya yang mahu dilihat
rakyat. Parti atau pertubuhan yang tidak melakukan perubahan adalah
sebuah pertubuhan, kewibawaan pertubuhan itu akan beransur-ansur kurang
keampuhannya dalam menghadapi rakyat yang ramai.
Ketiga-tiga parti ini mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah
penubuhan parti itu dan ini isu biasa dalam sejarah sesebuah parti itu.
DAP pernah menghadapi kekalahan teruk dalam pilihan raya 1995 dan
beberapa kali dalam pilihan raya negara, begitu juga PAS. PKR hanya
mempunyai satu kerusi di Permatang Pauh suatu ketika dahulu.
Tetapi parti ini kembali menjadi besar penyertaan mereka dalam
Dewan-Dewan Legislatif negara. Keadaan berubah mengikut keadaan dan
masa. Jika dalam PRU13 yang lalu MCA dan Gerakan serta SUPP menjadi
mangsa keadaan politik semasa itu, itu adalah perkara dan kejadian biasa
dalam politik bukan sahaja di negara ini tetapi juga di negara lain.
DAP sudah sampai ke tahap maksima daripada jumlah kerusi yang boleh
dimenanginya. Terutama di Semenanjung Malaysia. Itu sebabnya parti itu
menumpukan tenaga di Sabah dan Sarawak bagi mengembangkan pengaruhnya
dan menambah bilangan penyertaan mereka dalam Dewan-Dewan Legislatif
negara. Hampir semua kerusi di Semenanjung yang dijangkakan boleh
dimenangi oleh parti itu telah pun dimenanginya.
Jika diikuti formula ilmu statistik DAP sudah sampai ke 'apex' nya dan
jika ada pergerakan statistik kepada parti itu ia akan hanya menunjukkan
penurunan. Sebagai sebuah parti yang memerintah sebuah negeri seperti
Pulau Pinang, DAP akan terjumpa dan berhadapan dengan masalah yang lazim
dihadapi oleh sesebuah parti pemerintah.
MCA, SUPP serta Gerakan boleh memperbaiki diri semasa dalam kejatuhan
dan jika mereka mampu menunjukkan perubahan, tidak terkejut bagi banyak
pihak yang parti itu akan bertambah sokongan rakyat dalam pilihan raya
akan datang. Lagi pun dalam kekalahan yang mereka hadapi sekarang secara
'natural' nya semua pemimpin yang menjadi isu semasa menghadapi PRU13
lalu akan tiada lagi di barisan pimpinan mereka dan ini akan memberikan
imej baru penampilannya kepada rakyat yang begitu mendesak buat masa
ini.
Tidak ada satu parti pun boleh menguasai bangsa yang mendominasi
sesuatu parti. Contohnya DAP cuba mendapatkan kuasa waktu yang terbaik
semasa PRU lalu. DAP tahu jika ada pun kesempatan untuk menjadi rakan
kongsi dalam kerajaan, PRU13 lalu adalah masa terbaik baginya.
Itu sebabnya parti itu beriya-iya memberikan sokongan dan berpadu
dengan PKR bagi mendapatkan sokongan 'secondary source' untuk
mencukupkan kekuatan menubuhkan kerajaan bersama PKR. Tetapi dalam usaha
itu 'coalition' dalam Pakatan Rakyat tidak mendapat kata sepakat dalam
banyak isu yang berkaitan dengan keadaan semasa.
Dalam usaha mendapatkan sokongan padu kaum bukan Melayu secara total
DAP juga melakukan kesilapan dengan menawar isu nama Allah ke depan
secara rasmi. Akhirnya Pakatan tidak dapat kerusi yang mencukupi untuk
berkuasa bersama rakan kongsi mereka kerana PAS tidak berjaya memenangi
kerusi sepatutnya dimenanginya kerana isu Allah itu. PAS menjadi
defensif dalam isu ini, dan isu ini adalah isu terlalu 'unnecessary'
yang ditimbulkan DAP.
Impak jangka panjang kepada DAP adalah besar kerana dengan isu itu
mengurangkan keyakinan bangsa Melayu dan strategi menggunakan sokongan
PAS dalam Pakatan Rakyat yang dilakukan secara mereka lakukan dalam PRU
lalu tidak mungkin boleh diulanginya lagi. Orang melayu rata-rata,
termasuk penyokong PAS sendiri berkata dengan nada kecewa yang saya
berjumpa berkata, mereka tidak akan 'dipatuk ular dari lubang yang sama'
pada pilihan raya akan datang ini. “Once bitten twice shy” kata seorang
pemimpin PAS yang hampir dengan saya.
Tetapi kita tidak perlu marah dengan DAP berbuat demikian kerana semasa
itu parti itu merasakan itu sahaja waktu dan ketikanya bagi mereka
mempunyai peluang untuk duduk di Putrajaya bersama rakan kongsinya
pimpinan Anwar Ibrahim. Keyakinan mereka terlalu tinggi sehinggakan
mereka berpendapat banyak isu dan janji-janjinya tidak perlu dipenuhi
dan selepas berkuasa mereka boleh mempertahankan kedudukan dengan
pengaruh 'incumbency' yang mereka bakal perolehi.
Apa yang dilakukan DAP sememangnya memberikan kebaikan kepada parti
itu, tetapi tindakannya itu membantutkan sokongan orang Melayu kepada
PAS dan PKR sendiri. Oleh itu, PR akhirnya tidak berjaya memenangi DUN
di Negeri Sembilan, misalnya kerana atas beberapa isu yang dilakukan
oleh DAP, PKR gagal untuk memenangi satu kerusi pun dalam kawasan Kuala
Pilah. PKR yang rata-rata dianggapkan akan memenangi tiga kerusi DUN di
kawasan Kuala Pilah akhirnya kecundang kerana ribuan yang sepatutnya
memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat kembali memberikan sokongan
kepada Umno dan BN.
DAP walaupun menang dalam kesemua kerusi yang ditandingi mereka, PKR
dan PAS pula kecundang dan rata-rata keluarga dan rakan yang hampir
dengan saya memberitahu 'intrigue' dilakukan oleh DAP itu hanya boleh
diaplikasikan hanya sekali sahaja. Selepas ini, orang Melayu akan lebih
berhati-hati dan akan melihat tindakan parti itu dengan lebih khusus
lagi.
Tetapi itulah politik di sini. Kadang-kala strategi menjadi,
kadang-kala kecundang. Tetapi yang nyata di Negeri Sembilan, misalnya
peralihan sokongan dan tumpuan bagi mereka yang berada di atas pagar
bermula dari saat parti itu mengumumkan tiada orang Melayu dan Islam
menjadi calon dalam pilihan raya itu. Itu amat bertentangan dari janji
awalnya. Ia mengakibatkan PAS dan PKR kecundang di kawasan majoriti
Melayu di timur negeri itu.
Niat dan cita-cita untuk merasakan kuasa di Putrajaya tidak kesampaian
dan parti itu terpaksa mencari dan mendapatkan strategi yang baru bagi
mendapatkan sokongan kali ini. Oleh itu dalam situasi sebegini jika
parti yang didominasi kaum Cina boleh bersatu mereka boleh menjadi
saingan kuat kepada DAP di hari muka dan pastinya situasi kali ini akan
berlainan secara 'total' jika mereka (MCA,SUPP dan Gerakan) berjaya
memperbaiki keadaan.
Proses pemulihan bagi parti MCA, SUPP dan Gerakan akan hanya tercapai
jika masing-masing sedar betapa perlunya mereka melakukan perubahan
secara jelas dan telus. Jika parti ini dapat menunjukkan kejujuran
kepada rakyat dengan niat yang difahami bersih, tidak ada sebab kenapa
parti itu akan kembali mendapat tempat di hati rakyat yang ramai. –
aspanaliasnet.blogspot.com,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan