Ahad, 16 Jun 2013

Tinggal Di Bangsal Tanpa Kemudahan Selepas Rumah Diroboh


kg desa pengasih diroboh 01

KUALA SELANGOR  : Sudahlah rumah yang didiami selama lebih 20 tahun dirobohkan, malah janji pemberian pampasan hanya tinggal janji.

Penduduk Kampung Desa Pengasih, Robaiah Abdul Rahman, 56, kini belas ehsan daripada pihak berkuasa agar bagi membantu keluarganya setelah rumah mereka dirobohkan.

Robaiah yang ditemui Selangor Kini mendakwa masih belum menerima pampasan sebanyak RM 7,500 seperti yang dijanjikan daripada pemilik tanah tapak rumah mereka, iaitu sebuah syarikat berkaitan (GLC) Kerajaan Persekutuan.

Katanya kini mereka sekeluarga terpaksa tinggal di bangsal gerai buah-buahan di tepi jalan Puncak Alam tanpa kemudahan air dan elektrik sejak 3 Jun lepas.

Jelasnya, beliau terpaksa menanggung risiko tinggal disitu kerana tidak mampu untuk mencari kediaman baru dan menyewa rumah kerana suaminya hanya bekerja sebagai pemandu teksi.

“Saya mempunyai dua orang anak kecil dan sudah empat malam tinggal di bangsal ini kerana tidak mampu menyewa kerana rumah sewa di sini terhad dengan kadar sewa lebih daripada RM 700 sebulan, itu belum masuk lagi bayar air dan elektrik.

“Saya mengharapkan pihak-pihak terbabit dapat memberikan perhatian kepada masalah ini dengan menyediakan kemudahan rumah sementara kerana kami memang daripada keluarga susah,” kata beliau yang merupakan anak jati Selangor.

Tinjauan ke Kampung Desa Pengasih mendapati kerja-kerja merobohkan rumah di kampung itu sudah dilaksanakan beberapa hari lepas.

Menurut penduduk, kampung tersebut dibangunkan sejak 1990-an, sebelum tanah tersebut dibeli oleh syarikat GLC itu pada 2004, di zaman pentadbiran Umno-BN di bawah Dr Mohamed Khir Toyo.

Menurut laporan Harakah Daily, penduduk kampung itu mula menerima notis perintah mahkamah untuk mengosongkan kawasan itu pada 2012, dan syarikat itu mula memfailkan saman pemula ke atas penduduk pada 14 Mei 2013 lalu melalui Mahkamah Tinggi Shah Alam.

kg desa pengasih diroboh 02


Notis itu mengatakan semua penduduk kampung terbabit perlu mengosongkan kawasan itu selewat-lewatnya pada 28 Mei lepas.

Bagaimanapun, para penduduk memohon untuk menangguhkan pengosongan tersebut dengan meminta jasa baik pihak berkenaan untuk menyediakan satu penempatan bagi mereka, selain menuntut pampasan hasil tanaman yang diusahakan selama ini.

Menurut seorang lagi penduduk, Yahaya Denan,50, sepatutnya syarikat itu membayar pampasan tersebut sebelum rumah mereka dirobohkan bagi memastikan mereka boleh mencari kediaman lain yang sesuai.

“TM tidak adil dalam pemberian pampasan ini kerana tidak semua yang dapat pampasan, mereka merobohkan tanpa apa-apa pampasan,” kata beliau.

Jelasnya, jumlah pampasan sebanyak RM 7,500 tidak memadai kerana beliau membangunkan rumah disitu sebelum ini dengan kos kira-kira lebih RM 60,000.

Katanya, Kampung Desa Pengasih ini sudah wujud lebih daripada 23 tahun yang mengandungi kawasan penempatan yang ramai pada mulanya.

“Kita sepatutnya menerima pampasan yang sewajarnya tetapi tidak menerima pampasan sedangkan ada pihak yang diragui statusnya menerima pampasan dan masih ramai lagi yang belum menerima pampasan,” kata beliau.

kg desa pengasih diroboh 03

Ujarnya, bayaran pemindahan sebanyak RM 500 adalah jumlah yang tidak munasabah kerana tidak dapat membantu untuk pemindahan rumah.

Difahamkan, tanah seluas 217.5794 hektar itu pernah dipohon oleh penduduk ketika Selangor dibawah BN dan bekas menteri besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 8 September 1992.

Bagaimanapun, status permohonan penduduk itu tidak diketahui hujung pangkalnya, sehingga pada tahun 2004, tanah tersebut turut dipohon oleh GLC itu.

Permohonan itu kemudiannya diluluskan Dr Mohd Khir, bagi tujuan membina sebuah universiti. Bagaimanapun universiti itu tidak diteruskan.

Tiada ulasan: