Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa
menipu kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang
(PKFZ) selesai membela diri selepas memanggil saksi terakhirnya, iaitu
Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Datuk Faizal
Abdullah.
Dr Ling, 70, yang diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lepas,
mengemukakan sembilan saksi, termasuk dirinya dan bekas Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi menetapkan 22 Julai untuk hujahan.
Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan
kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus
setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324
Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1.088
bilion sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta
(JPPH) Kementerian Kewangan, dalam menentukan nilai itu, telah mengambil
kira kadar kupon.
Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan
sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar
faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga
pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu
RM1,088,456,000.
Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan di tingkat 4, Pejabat
Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6
Nov 2002.
Terdahulu, Faizal memberitahu mahkamah bahawa Dr Ling tidak mempunyai
sebarang kepentingan dalam syarikat KDSB atau syer dan tidak pernah
menawarkan habuan untuk projek PKFZ.
Faizal, yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Operasi KDSB ketika
projek itu berlangsung, berkata sepanjang proses penjualan tanah di
Pulau Indah beliau hanya berurusan dengan bekas Ketua Setiausaha (KSU)
Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari, bekas Timbalan KSU Datuk
Abdul Rahman Mohd Noor dan bekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian
Maritim P.Chandrasekaran.
Ditanya peguam Wong Kian Kheong sama ada beliau pernah berjumpa Dr Ling ketika itu, Faizal berkata: "Saya tidak ingat."
Dr Ling didakwa pada 29 Julai 2010, dan perbicaraan yang bermula 1
Ogos 2011 membabitkan 25 saksi pendakwaan termasuk bekas pegawai
Kementerian Pengangkutan dan menteri kabinet.
Barisan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah. - Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan