Rabu, 12 Jun 2013

Pua akan puji kerajaan jika IPCMC ditubuh dan anggota polis bersalah dihukum

Oleh Md Izwan



KUALA LUMPUR ― Pemimpin DAP Tony Pua hari ini berkata hanya akan memuji kerajaan jika anggota polis yang bersalah dihukum, ia menjawab kritikan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Heliliah Mohd Yusof semalam.

Semalam, Heliliah membidas pembangkang Pakatan Rakyat (PR) kerana tidak pernah menyokong sebarang langkah yang diambil kerajaan dan tidak kisah dengan kritikan tersebut walaupun dituduh gagal melaksanakan tanggungjawab terutamanya melibatkan kes kematian dalam tahanan.

“Saya akan orang pertama puji kerajaan jika Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan dan mereka yang bersalah salah guna kuasa dihukum,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Walaubagaimanapun, Pua (gambar) mempersoalkan prestasi EAIC yang menerima peruntukkan RM7 juta setahun sejak penubuhannya tiga dahulu dengan mempertahankan pendiriannya mengatakan agensi tersebut ditubuhkan bertujuan untuk “gagal”.

“Hakikatnya adalah kerajaan tidak serius, dengan hanya seorang pegawai penyiasat sehingga hari ini ‘untuk menjaga’ 19 agensi kerajaan adalah bukti jelas tujuan kerajaan supaya badan tersebut gagal,” tegas Pua lagi.

Pua sebelum ini berkata EAIC dicipta untuk gagal oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan hanya ditubuhkan pada tahun 2011 untuk menenangkan tekanan ke atas pelaksanaan IPCMC.

“Perbezaan antara kedua-dua adalah jelas dalam niat mereka, dengan EAIC ditubuhkan sebagai harimau tidak bertaring bertujuan khusus melakukan kerja kosmetik menenangkan permintaan orang ramai untuk IPCMC, disamping memenuhi bantahan lantang daripada pasukan polis,” kata beliau.

Sebanyak 469 aduan diterima EAIC sehingga 31 Mei tahun ini sejak ia ditubuhkan pada tahun 2011, dengan 353 aduan terhadap polis. Dua puluh satu aduan telah dibuat terhadap Jabatan Imigresen, 15 terhadap JPJ, 10 terhadap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan sembilan terhadap Jabatan Kastam.

Penyiasatan telah dijalankan untuk 124 daripada 469 aduan, dengan satu kes menyebabkan cadangan tindakan tatatertib terhadap polis.

Menurut kumpulan hak asasi SUARAM, terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012, manakala lapan kes kematian setakat ini dilaporkan berlaku dalam tempoh lima bulan tahun ini.

Satu Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) yang melawat penjara Malaysia dan pusat tahanan melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, “seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa”.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan memberitahu Parlimen Oktober lalu 298 orang ditembak mati oleh polis diantara 2007 dan Ogos 2012, termasuk 151 rakyat Indonesia dan 134 rakyat Malaysia di mana secara puratanya seorang mati ditembak dalam setiap minggu.

Isu kematian dalam tahanan Kematian telah mencetuskan reaksi negatif pelbagai pihak, malahan pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) telah mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis terlibat dengan menangkap mereka, dan bukannya hanya menukar kepada tugasan pejabat.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang oleh polis, seharusnya berdasarkan kepada model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis United Kingdom (IPCC), termasuk badan pemantau polis lain di New South Wales dan Queensland di Australia dan Hong Kong.

Tiada ulasan: