Isnin, 10 Jun 2013

PR fail petisyen PRU13

NIZAM ZAIN
Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
 
PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] PR akan memfailkan 25 petisyen pilihan raya membabitkan kerusi Parlimen yang dipercayai berlakunya penipuan dan penyelewengan pada PRU13 lalu bermula hari ini hingga Rabu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata 25 petisyen itu membabitkan 24 kerusi Parlimen dan satu petisyen berasingan akan difailkan berhubung kesalahan seorang calon BN yang melanggar had perbelanjaan pilihan raya.

"Kesemua petisyen itu akan menelan belanja kira-kira RM1.4 juta di mana PKR sahaja memerlukan RM1 juta, memandangkan kita paling banyak kemukakan petisyen.

"25 petisyen itu akan difailkan secara berasingan mengikut kawasan dan parti.

"Setiap pendaftaran petisyen itu akan membabitkan kos sebanyak RM15,000 setiap satu kerusi.

Rabu lalu, laporan Sinar Harian Online yang memetik kenyataan Rafizi menyebut PKR akan memfailkan 19 petisyen berhubung keputusan PRU13 itu selewat-lewatnya pada 10 Jun ini.

Katanya petisyen itu akan dibuat secara berasingan dengan parti gabungan lain iaitu Pas dan DAP.

PR mempunyai tempoh 21 hari untuk berbuat demikian selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan keputusan rasmi PRU13, 22 Mei lalu.

Dalam pada itu, katanya daripada 25 petisyen itu, PKR akan memfailkan 19 kerusi, empat kerusi oleh Pas dan dua lagi oleh DAP.

Antara parlimen yang difailkan PKR ialah bagi kawasan Parlimen Merbok, Kulim- Bandar Baharu, Ketereh, Machang, Balik Pulau, Tapah, Bagan Datok, Sabak Bernam, Setiawangsa, Segamat, Ledang, Muar, Tebrau, Pasir Gudang, Kota Marudu, Beaufort, Pensiangan dan Baram.

Pas pula melibatkan kawasan Parlimen Sungai Besar, Kuala Selangor, Titiwangsa dan Pulai manakala DAP pula membabitkan kerusi Cameron Highlands dan Labis.

Selain kerusi Parlimen, sebanyak 10 kerusi melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di seluruh negara di mana sembilan daripadanya ditandingi Pas manakala satu lagi oleh PKR.

Serentak dengan memfailkan petisyen tersebut, katanya PKR juga akan memfailkan tindakan undang-undang dalam tempoh tiga minggu dari hari ini.

Antara isu terbabit ialah menyaman Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana gagal melaksanakan dakwat kekal; menuntut mahkamah supaya menyemak senarai pengundi hantu di Sabah berdasarkan keterangan yang dibuat di Suruhanjaya Diraja dan kajian dalaman PKR serta mencabar tindakan undang-undang bagi mengisytiharkan pindaan Seksyen 9A yang menghalang kesahihan daftar undi.

Tiada ulasan: