Jumaat, 21 Jun 2013

PMBOA: Penumpang bas enggan bayar 10 peratus surcaj akan dikenakan tindakan

Oleh Mohd Farhan Darwis

Penumpang yang enggan membayar surcaj 10 peratus yang ditetapkan pengusaha bas sempena musim perayaan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) memberi amaran hari ini.

Presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali juga turut menegaskan tindakan sama boleh dikenakan terhadap mana-mana pengusaha bas yang mengenakan surcaj melebihi 10 peratus terhadap penumpang.

"Bagi meraikan semangat pada musim raya yang akan datang, saya menyeru kepada semua penumpang dan pengusaha bas untuk menerima 10 peratus surcaj yang dibenarkan oleh SPAD," katanya merujuk kepada agensi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dalam satu kenyataan hari ini.

SPAD sebelum ini mengumumkan kenaikkan tambang bas 10 peratus berkuatkuasa pada 8 Julai depan untuk tempoh musim perayaan pada Ogos.

Agensi pengangkutan itu berkata, pengendali bas ekpress dan tambahan bagi perayaan Aidilfitri kali ini dibenarkan menaikkan kos berkenaan dalam tempoh yang telah ditetapkan sehingga 8 September 2013.

SPAD juga berkata, langkah itu dapat membantu dan menampung kos pengoperasian syarikat yang perlu menyediakan perkhidmatan tambahan berdasarkan permintaan tinggi daripada pengguna, terutamanya semasa musim perayaan.

"Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa boleh diambil terhadap mana-mana penumpang yang enggan membayar surcaj 10 peratus atau mana-mana pengusaha bas yang mengenakan lebih daripada 10% surcaj yang dibenarkan," kata Mohamad Ashfar.

Beliau juga turut menjelaskan, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, pihaknya turut berkata tiada undang-undang yang menyatakan pengusaha bas mesti menjual tiket mereka lebih awal.

"lni merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh setiap pengusaha secara individu berdasarkan kepada model perniagaan mereka. Oleh itu untuk perjalanan semasa musim Raya pengusaha bas akan mula menjual tiket lebih awal berdasarkan model perniagaan mereka.

"Saya juga ingin memberi jaminan kepada semua penumpang bahawa pengusaha bas akan berusaha untuk memastikan bahawa adanya bas yang mencukupi untuk membolehkan semua orang pulang dengan selamat pada musim Raya akan datang," katanya sebagai jaminan dalam kenyataan berkenaan.

Banyak pihak sebelum ini membantah kenaikan tambang bas sebanyak 30 peratus seperti dituntut PMBOA, atas alasan ia membebankan rakyat terutamanya golongan pelajar dan menggesa perkara itu dikaji semula.

Turut difahamkan juga, tahun-tahun sebelum ini hanya bas tambahan sahaja yang dibenar mengenakan caj tambahan sebanyak 10 peratus.

SPAD bagaimanapun dalam penjelasan mereka berlata, permintaan PMBOA itu mustahil ditunaikan sebelum hari raya kerana proses perundingan dan kajian komprehensif masih dijalankan.

Mohamad Ashfar juga berkata, PMBOA telah mengadakan perbincangan secara terperinci dengan pihak SPAD berkenaan permintaan mereka, dan agensi itu turut menjelaskan kajian perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

"SPAD telah menjelaskan bahawa satu kajian terperinci perlu dijalankan dahulu untuk dikemukakan kepada Kabinet.

"Kabinet akan memberi kelulusan bagi sebarang kenaikan tambang bas ... Proses ini mungkin mengambil masa beberapa bulan," katanya.

Tiada ulasan: