Khamis, 20 Jun 2013

Penumpang bas penuh musim perayaan, kenapa naik tambang

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa SPAD dan Kementerian Pengangkutan mengkaji semula mekanisme kenaikan tambang bas 10% bagi musim perayaan yang diumumkan kelmarin.

Setiausahanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, kenaikan tersebut adalah satu jalan mudah yang diambil oleh kerajaan dengan membiarkan kenaikan kos ditanggung sepenuhnya oleh pengguna awam di kala kerajaan sering kali mencanangkan slogan ‘rakyat didahulukan’ dan gagal mengemukakan penyelesaian dengan nilaian transformasi di dalam isu itu.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan masih gagal menjelaskan pendiriannya mengenai permintaan PMBOA yang menuntut kenaikan tambang 30% setelah kenaikan yang terakhir dilakukan pada tahun 2008 sedangkan isu ini telah tertangguh sejak 2012 lagi.

Katanya, dihimpit dengan kenaikan kos dan dikekang pula dari meningkatkan perolehan, pengusaha dikhuatiri akan mengambil jalan pintas dengan menurunkan tahap pengurusan risiko jalanraya dan kualiti kepenggunaan atas alasan meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Ini, kata beliau secara langsung meletakkan nyawa pengguna dalam bahaya dan meningkatkan kadar kemungkinan berlaku kemalangan yang bakal meragut nyawa pengguna.

Katanya lagi, kewajaran mekanisme kenaikan tambang 10% ketika musim perayaan yang menjadi rutin tahunan boleh dipersoalkan memandangkan syarikat bas ekspres pastinya mencatatkan kapasiti penumpang penuh dan berada pada tahap paling efisien.

Menurutnya, kenaikan tambang ketika waktu puncak sebegitu seolah-olah seperti memeras ugut pengguna yang terdesak mencari pengangkutan untuk pulang ke kampung di musim perayaan.

Justeru, ujarnya amat mendukacitakan apabila kementerian dan SPAD mengizinkan perilaku kartel sebegini tanpa sebarang kawalan.

Pada masa yang sama, kata beliau kajian semula tambang bagi penggal 5 tahun memerlukan keputusan segera.

Langkah awal, katanya ialah dengan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji sebarang rasional kenaikan tambang bas termasuklah menilai kesaksamaan tambang dan kualiti serta mengemukakan pelan alternatif jangka panjang bagi menangani kesan inflasi ke atas perkhidmatan pengangkutan awam.

Pada masa yang sama, ujarnya SPAD digesa untuk tekad menangani isu ini dengan penuh ketelusan dengan memberikan akses kepada jawatankuasa tersebut fakta untung-rugi sub sektor pengangkutan bas ekpress bagi mengkaji dan menentusah dakwaan kenaikan kos operasi yang dijadikan alasan kepada kenaikan tambang tersebut.

“Sebagaimana yang telah ditegaskan sebelum ini, kerajaan juga perlu memikirkan strategi alternatif dan bukannya secara mudah memaksa rakyat menanggung kenaikan kos khususnya apabila terdapat polisi kerajaan yang menyumbang kepada kenaikan tersebut,” ujarnya lagi.

Antaranya, kara beliau dengan mengembalikan subsidi petrol dan diesel serta melaksanakan diskaun jalan bertol bagi bas ekpress.

Pada masa yang sama, tambahnya potongan cukai atau voucher boleh diperuntukkan kepada pengusaha bagi pembelian peralatan dan casis.

“Secara asasnya, insentif-insentif ini boleh mengurangkan kos operasi sekaligus mengurangkan tekanan untuk menaikkan tambang bas,” katanya.

Tiada ulasan: