Saksi Inkuiri Diraja Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di
Sabah (RCI) hari ini berkata pihaknya mendapati terdapat
sindiket-sindiket yang menjual "resit sementara" atau dikenali sebagai
"kad burung-burung" kepada pendatang asing tanpa izin dari Filipina yang
berada di Sabah.
Macarius Sabinus, 56, yang bekerja mendaftarkan
pendatang asing tanpa izin pada tahun 1986-1988 di Sabah berkata,
ketika proses itu pihaknya menemui kes-kes berkenaan dan pendatang asing
tanpa izin tersebut menerima kad burung-burung berkenaan di Bongao,
Filipina.
"Saya banyak menemui kes sedemikian di kawasan
Sandakan, bila saya buat pendaftaran di Dewan Masyarakat, mereka tunjuk
resit burung-burung yang diterima daripada orang di Bongao.
"Kad
itu berbeza daripada segi rekod nombor sirinya, dan cop Jabatan Ketua
Menteri (JKM) yang sebenar," katanya, yang merupakan saksi kedua inkuiri
hari ini, dan menambah, pasukannya sahaja menemui sekitar 10 kes
seperti itu.
Bongao merupakan daerah yang terdapat di Pulau Tawi-Tawi milik Filipina yang berhampiran dengan kawasan perairan Sabah.
Sementara
resit burung-burung adalah dokumen pengenalan yang diberikan kepada
warga asing tanpa izin yang didaftarkan di Sabah pada tahun 80an,
sebagai bukti mereka telah didaftarkan dan bukannya perakuan warganegara
seperti kad pengenalan.
Macarius merupakan Pegawai Penyelidik di
Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, dan bagi tujuan mengumpul data
pendatang asing tanpa izin berkenaan, beliau dipinjamkan ke JKM pada
1985.
Beliau bertanggungjawab merekod dan mendaftar pendatang
asing tanpa izin di negeri Borneo itu bagi tujuan statistik dan kaji
selidik terhadap pendatang asing pada masa tersebut di kawasan Sandakan,
Lahad Datu, Tawau, dan Sepuluh.
"Saya buat kaji selidik, mereka
(pendatang asing) akan isi borang dan kami akan dapatkan maklumat
lengkap untuk mereka yang datang mendaftar ... Kemudian kami akan
keluarkan resit 'burung-burung' kerana mereka langsung tidak mempunyai
dokumen.
Ditanya sama ada dengan memberikan mereka kad
burung-burung berkenaan akan menjadikan mereka rasa mereka boleh kekal
di Sabah, Macarius berkata: "Tidak ... Ia hanyalah pendaftaran sementara
yang menunjukkan mereka tiaada dokumen daripada negara asal."
"Ada
juga yang membawa kad pengenalan meragukan, jadi saya rumuskan mereka
dapat daripada majikan syarikat jadi bukan daripada JKM," katanya lagi.
Laporan berhubung pendaftaran berkenaan, jelas Macarius akan dihantar kepada JKM dalam tempoh seminggu sekali.
"Kebiasanya laporan menunjukkan kawasan kami melakukan pendaftaran, berapa pelarian, berapa pendatang.
"Bila
saya temubual mereka, ada yang ada kad pengenalan biru, namun cara
percakapan mereka bukan umpama rakyat Malaysia, tapi dia ada kad
pengenalan biru, resit sementara, saya cakap Sulu dengan dia, dia cakap
Sulu dengan saya," terang Macarius kepada panel inkuiri hari ini.
Beliau
turut menjelaskan, terdapat lebih 12 pasukan yang melakukan pendaftaran
tersebut dengan setiap daripada mereka memiliki 12 hingga 13 anggota.
Inkuiri
di hadapan bekas Ketua Hakim Sabah Steve Chim hari ini berehat sebentar
dan akan bersambung jam 2 petang nanti. - 17 Jun, 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan