Pakatan Rakyat (PR) akan membawa isu jerebu yang semakin
kritikal di negara ini ke Parlimen yang akan bersidang esok dan bersedia
bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), bagi memastikan masalah
berkenaan tidak akan berulang.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Jawatankuasa
Kabinet perlu berbincang dalam kadar segera bagi mengatasi masalah
jerebu, dan bukannya menunding jari mencari kesalahan mana-mana pihak.
"Keadaan semakin gawat, apa sahaja langkah yang perlu diambil perlu
dilaksanakan," kata pemimpin pembangkang itu ketika sidang media selepas
berucap di majlis perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat di Hotel De
Palma, Ampang di sini.
"Buka setakat menunding siapa salah, kedua-duanya, Malaysia dan
Indonesia perlu bersidang dan mencari penyelesaian," kata Ketua Umum PKR
itu lagi, dan menambah tindakan segera juga perlu diambil terhadap
syarikat Malaysia di Indonesia yang dikatakan terlibat menjadi punca
kepada masalah jerebu.
"Syarikat kroni Malaysia terlibat, dan Malaysia perlu bertindak."
Menteri Alam Sekitar Indonesia, Dr Balthasar Kambuaya sebelum ini
berkata pihaknya telah mengenal pasti lapan syarikat yang mempunyai
kaitan dengan Malaysia sedang disiasat kerana melakukan pembakaran di
Riau dan Jambi, yang mengakibatkan jerebu sehingga memberi ancaman
kepada negara jiran Malaysia dan Singapura.
Menurut Dr Balthasar, kesemua lapan syarikat itu dimiliki oleh para
pelabur Malaysia dan kebakaran yang berlaku dikesan di bawah konsesi
mereka.
Harus dibuat lebih awal dan di seluruh Johor, topeng muka itu perlu
diedarkan lebih awal lagi. Saya rasa semua langkah perlu dilaksanakan
lebih awal.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga turut menegaskan PR juga sedia
bekerjasama dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian dalam isu jerebu.
"Macam mana pun, kami dari pihak PR mengatakan tindakan awal
seharusnya boleh diambil ... Kami sedia bekerjasama dengan kerajaan,
yang penting kesihatan dan keselamatan rakyat," katanya, yang juga
merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam sidang media berkenaan.
Lim turut berkata, kerajaan juga seharusnya telah mula mengedarkan
topeng percuma kepada penduduk terjejas akibat jerebu, dan mencadangkan
penguatkuasaan ketat daripada Jabatan Alam Sekitar.
Indonesia telah berkata republik berkenaan telah mengenalpasti lapan
syarikat berkenaan iaitu;PT Langgam Inti Hiberida; PT Bumi Rakksa
Sejati; PT Tunggal Mitra Plantation;PT Udaya Loh Dinawi; PT Adei
Plantation; PT Jatim Jaya Perkasa ;PT Multi Gambut Industri dan PT
Mustika Agro Lestari.
Awal hari ini, Muar telah diisytihar darurat pagi ini selepas Indeks
Pencemar Udara (IPU) berada pada tahap setinggi 750 sementara dua bandar
di Melaka dicatatkan pada bacaan 300.
Bacaan IPU tertinggi di Malaysia adalah di Sarawak pada 1997 dengan bacaan 860.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel berkata
hari ini kedaan jerebu di tiga bandar telah mencapai tahap berbahaya.
Dua lagi bandar adalah Bukit Rambai pada 357 dan Bandaraya Melaka pada 364.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Halimah Hassan pagi
ini telah meminta pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk
mengisytiharkan darurat di Muar hari ini.
MKN dijangka akan mengeluarkan arahan kepada penduduk untuk tinggal
dalam rumah dan mengarahkan sekolah di beberapa negeri terus ditutup.
Palanivel juga berkata, MKN akan mengadakan pembenihan awam serta
merta untuk memastikan hujan membersihkan asap yang datang melalui Selat
Melaka itu.
Bacaan IPU di bandar-bandar terpilih setakat pukul 8.00 pagi tadi
adalah Pasir Gudang [123], Kemaman [140], Kelang [189], Balok Baru,
Kuantan [137], Petaling Jaya [111], Johor Bahru [114], Shah Alam [104],
Port Dickson [168], Kota Tinggi [137] dan Banting [110].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan