Selasa, 11 Jun 2013

Nozula Ketua Pembangkang di Dun Kelantan?

Rizal Tahir,


KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang akan berlangsung pada 17 Jun ini menyaksikan banyak perubahan berbanding persidangan sebelumnya.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi berada di kerusi Menteri Besar, di mana kedudukan beliau dijangka berpindah ke barisan kedua di belakang kedudukan anggota-anggota Exco.

Manakala Adun Salor, Datuk Husam Musa juga berpindah dari kerusi Exco kepada penyokong kerajaan, difahamkan tempatnya bersebelahan anggota Exco, Dr Ramli Mamat.

Bagaimanapun lebih mengejutkan apabila terdapat khabar angin kerusi Ketua Pembangkang Dun Kelantan akan diisi Adun veteran Umno dari Gua Musang.

Sedangkan pada penggal lalu kerusi itu diisi Adun dari Kok Lanas, Datuk Alwi Che Ahmad. Biar pun menang semula di Kok Lanas, namun difahamkan Perhubungan Umno Kelantan lebih berminat kepada tokoh lain.

Ekoran itu antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi kerusi Ketua Pembangkang iaitu Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah (gambar). Nozula menang di Dun Paloh sejak PRU 1990.

Difahamkan Nozula dipilih kerana berjaya memenangi Dun Paloh dengan pertambahan majoriti agak besar pada pilihan raya umum lalu, iaitu hampir 3,937 undi mengatasi calon PKR, Amran Ghani.

Menurut sumber perubahan itu dikatakan dipersetujui Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang hanya menang majoriti 47 undi di Ayer Lanas.

Selain itu kata sumber terbabit lagi, Mustapa yang juga anggota parlimen Jeli mahu memberi tumpuan sebagai menteri di pusat.

Pada PRU lalu BN Kelantan berjaya menambah kerusi di Dun kepada 12 berbanding penggal lalu tujuh kerusi.

Majlis angka sumpah Adun-Adun Kelantan akan diadakan pada 13 Jun ini, selepas pelantikan Speaker Dun dan timbalannya. Manakala perasmian pembukaan persidangan Dun akan disempurnakan Suiltan Muhammad V pada 16 Jun.

Tiada ulasan: