PETALING JAYA: Kontroversi penurunan harga kereta Volkswagen dan Peugeot baru baru ini menunjukkan Umno-BN tidak mampu menunaikan manifestonya sendiri yang dibuat semasa pilihanraya umum ke-13.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa tidak menunjukkan kesungguhan dalam menunaikan janji mereka untuk menurunkan 20 peratus harga kereta dalam jangkamasa lima tahun,
Malah Anwar mendakwa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak juga akan gagal untuk menurunkan harga rumah mampu milik sebanyak 10 peratus dalam jangka masa setahun.
Anwar berkata sehingga kini pentadbiran Najib gagal mengambil sebarang langkah konkrit bagi menunaikan janji yang dibuat dalam manifestonya.
“Datuk Seri Najib tidak mempunyai legitimasi penuh undi popular dan dia tidak mampu untuk menunaikan janji-janji ekonomi yang paling asas sejak mengangkat sumpah baru-baru ini.
“Hakikat bahawa percubaan pentadbiran beliau untuk mengurangkan harga kereta seperti yang dijanjikan dalam manifesto hanya menujukkan ketidakcekapan dan kekecewaan pentadbiran beliau.
“Datuk Seri Najib juga gagal menunaikan janji menambah perumahan mampu milik yang sesuai bagi rakyat.
Kami akan memantau prestasi Kerajaan BN dalam isu perumahan awam dengan teliti dan menganggapnya gagal jika tidak boleh menurunkan harga purata perumahan kelas pertengahan sekurang-kurangnya 10 peratus dalam jangka masa satu tahun akan datang.”
Anwar berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat PKR di sini pagi tadi.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Umno-BN menunaikan janji manifestonya dengan menurunkan harga kereta secara berperingkat 20 hingga 30 peratus menjelang 2017 dengan penurunan fasa pertama dari 0.7 hingga 11 peratus.
Antara pengeluar yang dilaporkan terlibat dalam penurunan fasa pertama itu termasuklah Peugeot dan Volkswagen.
Bagaimanapun, Volkswagen dan Peugeot Malaysia menafikan tindakan tersebut melalui kenyataan di akaun rasmi Facebook masing-masing.
Volkswagen Malaysia menjelaskan, harga modelnya, Golf tidak diturunkan dari RM 169,888 kepada RM 157,888, sebaliknya memang dilancarkan dengan harga RM 157,888.
Peugeot pula berkata, syarikat itu tidak pernah mengumumkan harga baru bagi Peugeot 308, seperti yang didakwa Utusan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan