PUTRAJAYA
– Pelakon filem antarabangsa Tan Sri Michelle Yeoh dilantik sebagai
mentor pertama 1Malaysia For Youth (iM4U). Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak hari ini menyerahkan watikah pelantikan kepada Yeoh di
Pejabat Perdana Menteri di Kompleks Perdana Putra di sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan anggota Lembaga Pemegang Amanah iM4U Datuk Irmohizam Ibrahim.
Penubuhan
iM4U adalah hasil ilham Najib, yang juga pengerusi Lembaga Pemegang
Amanah iM4U, sebagai wadah untuk belia Malaysia menjalankan kegiatan
kesukarelaan dan pembinaan negara bangsa untuk manfaat masyarakat dan
kumpulan sosial.
Pelantikan
sebagai mentor iM4U adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian
luar biasa rakyat Malaysia dalam membangunkan negara dan sebagai model
peranan untuk belia.
Sebagai
mentor iM4U, inisiatif pertama Yeoh ialah bekerjasama dengan iM4U untuk
menyusun kempen bagi menentang jenayah, dengan memberi fokus di
kawasan yang mendedahkan wanita kepada bahaya seperti tempat meletak
kenderaan, kawasan berdekatan stesen LRT dan hentian bas.
“Saya
menjadi amat tidak keruan apabila mendengar tentang wanita, terutama
yang mengalami trauma di tempat meletak kenderaan akibat perbuatan
peragut. Kami akan mencari jalan untuk meningkatkan kesedaran ke arah
menjadikan Malaysia lebih selamat. Sebaik saja kempen ini bersedia
untuk dilaksanakan, kami akan mengumumkannya,” kata Yeoh kepada
pemberita di sini hari ini.
Yeoh, yang
juga Duta Global Make Roads Safe yang diselaraskan Yayasan Persekutuan
Automobil Antarabangsa (FIA) bagi Automobil dan Masyarakat, berkata
keselamatan jalan raya amat dekat di hatinya.
“Walaupun saya berkempen di seluruh dunia untuk keselamatan jalan raya, tapi ada sesuatu yang ingin saya lakukan di sini.
“Dalam
perbualan saya dengan perdana menteri, beliau berkata 6,000 maut akibat
kemalangan jalan raya setiap tahun. Setiap kematian mempunyai kesan
yang lain pula. Jika yang maut itu adalah pencari nafkah atau seorang
anak muda, ia merupakan suatu kehilangan besar untuk negara,” katanya.
Mengenai
pelantikan beliau sebagai mentor iM4U, Yeoh berkata beliau berasa
bertuah kerana dapat memberi sumbangan kepada negara.
“Beliau
(perdana menteri) mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi
menjadi mentor pertama iM4U. Saya memberitahu beliau bahawa saya berasa
sungguh bertuah. Memang niat saya untuk kembali ke tanah air bagi
memberi lebih banyak sumbangan…saya akan pulang untuk melakukan lebih
banyak lagi. Malaysia amat dihormati di luar negara dan saya mahu dunia
mengetahui bahawa negara saya begitu indah.
“Tahun
depan, kita ada Tahun Melawat Malaysia dan para belia boleh memberi
banyak bantuan dan menjadikan pengunjung ke negara kita lebih tertarik
dengan apa yang ada di sini dan saya mahu mereka berasa selamat, santai
dan gembira,” katanya sambil menambah bahawa semangat kesukarelaan
perlu dipupuk dalam diri para belia.
Sementara itu, Yeoh mengesahkan beliau akan berlakon dalam filem ‘Crouching Tiger, Hidden Dragon 2′.
“Saya
sedang berusaha sedaya upaya agar filem ini dibuat penggambarannya di
Pinewood Iskandar Malaysia Studios,” kata pelakon terkenal itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan