MALAYSIA KINI
Presiden
MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata penahanan yang dijalankan ke
atas seorang wanita atas dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong di
Facebook sepatutnya menjadi pengajaran kepada individu lain agar tidak
menyalahguna kebebasan bersuara.
Chua dalam satu kenyataan hari ini turut menyalahkan "pihak tertentu" yang didakwa memanipulasi pengguna Internet dengan membangkitkan kebencian dan menjejas keamanan negara.
"Warga maya tidak sepatutnya dimanipulasi oleh pihak yang licik untuk membangkitkan kebencian dan menjejas keamanan dan keharmonian negara demi kepentingan peribadi dan politik mereka.
"Terlalu banyak penipuan, kebencian dan maklumat salah di media sosial, malangnya ramai orang yang tidak percaya dengannya," katanya.
Beliau seterusnya memberi amaran kepada parti pembangkang agar tidak menyalahgunakan kebebasan suara demi kepentingan politik.
"Saya ingin tegaskan bahawa hak dan keistimewaan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disalahgunakan oleh pembangkang untuk mencapai sasaran politik mereka," katanya lagi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata pasukannya menahan wanita berkenaan semalam dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM.
Siasatan terhadap wanita itu dijalankan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga boleh didakwa bawah Akta Hasutan 1948.
SKMM juga mencari rakan suspek untuk membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan