Salmiyah Harun, |
Pengerusinya Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan tidak sepatutnya menaikkan tambang bas ekspress walaupun kenaikan satu, 10 atau 15 peratus sekalipun.
"Isu sebenarnya bukan 30 peratus, isunya adalah kenaikan harga tambang. Kalau bawah 30 peratus iaitu 15 peratus bermakna pengguna akan beli. Ini adalah perangkap kepada pengguna supaya bincang kenaikan harga tambang. Hakikatnya harga tambang pasti akan naik," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, tidak wajar kenaikan harga tambang bas berlaku dalam keadaan harga minyak dan tol tidak diturunkan.
Malah katanya, banyak cara lain yang boleh mengelakkan kenaikan harga tambang sama ada tambahkan subsidi ataupun kurangkan kos sama cukai tayar dan alat ganti kepada pengusaha bas.
"Yang paling penting turunkan harga minyak, tol dan tambahkan subsidi kepada pengusaha bas, ini akan membawa kepada tidak perlu kenaikan harga tambang," katanya.
Jelas Mahfuz, tawaran Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga iaitu turunkan harga minyak dan tol sekali gus pengguna akan menikmati kadar tambang yang lebih murah.
"Hari ini jelas membuktikan kenaikan harga tambang akhirnya ditanggung oleh pengguna. Kerajaan sengaja bermain dengan istilah 30 peratus ini," katanya.
Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) kekal dengan pendirian untuk menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus walaupun ada pihak menyifatkannya sebagai terlalu tinggi.
Presidennya, Datuk Ashfar Ali berkata, kenaikan itu bukan disebabkan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, tetapi sebagai semakan semula yang biasa dilakukan dalam empat atau lima tahun sekali.
Bagaimanapun pihak PMBOA, menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD) untuk mengumumkan kenaikan harga tambang baru.
PMBOA telah memohon kenaikan harga tiket itu beberapa kali sebelum ini daripada SPAD dan kali terakhir pada 22 Mei lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan