SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengedarkan topeng muka kepada orang ramai berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk di Selangor kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Exco Kesihatan Dr Daroyah Alwi sudah diarahkan untuk mengedarkan topeng-topeng tersebut sebagai langkah keselamatan selepas berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berada pada paras tidak sihat.
“Hadkan aktiviti luar rumah dan lebihkan minum air bagi mengelak kesan akibat pendedahan secara berterusan kepada jerebu seperti sukar bernafas, mata pedih dan berair, kegatalan pada kulit dan tekak serta sesak nafas.
“Sentiasa memakai topeng muka ketika berada di luar atau tempat terbuka,” kata Abdul Khalid di dalam satu kenyataan media di sini.
Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan semua sekolah di Selangor ditutup pada hari Isnin dan Kerajaan Negeri akan mencadangkan agar sekolah hanya dibuka sehingga IPU bertambah baik dan selamat kepada pelajar.
Abdul Khalid turut menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan kesihatan rakyat terpelihara.
Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Elizabeth Wong ketika ditemui TVSelangor memberitahu, Kerajaan Negeri akan mengedarkan 60,000 topeng muka bermula awal minggu ini dan kemungkinan akan ditambah berdasarkan keadaan semasa.
Topeng muka tersebut akan diedarkan di sekolah, tempat awam seperti plaza tol, laluan motorsikal dan lain-lain.
Topeng muka juga akan diagihkan kepada ketua-ketua kampung, Ahli Majlis dan wakil rakyat untuk diedarkan kepada penduduk di kawasan masing-masing khususnya kanak-kanak dan warga emas.
Menurut Elizabeth lagi, bacaan IPU di Selangor sehingga jam 11.00 pagi tadi sudah menjangkau lebih 100 dan dijangka terus meningkat disebabkan pembakaran terbuka di Sumatera, Indonesia.
“Kalau kita lihat indikasi tapak-tapak hotspot di Pulau Sumatera Indonesia dan juga arah angin sedang bertiup, saya tidak jangka keadaan jerebu khasnya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia boleh bertambah baik pada masa terdekat ini.
“Jadi lebih baik kalau penduduk-penduduk di Selangor bersiap sedia menghadapi keadaan jerebu yang boleh dikatakan lebih teruk dari tahun-tahun sebelum ini,” kata Elizabeth lagi.
Elizabeth turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang sama sekali tidak akan bertolenrasi terhadap mana-mana pihak yang membuat pembakaran terbuka.
“Kerajaan Negeri mengamalkan sifar tolenrasi terhadap mana-mana pihak yang membuat pembakaran terbuka, kita boleh rampas tanah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan failkan kes di mahkamah.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan