Penggunaan laman sosial di negara ini tidak wajar disekat walaupun tujuannya untuk membendung penyalahgunaannya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyalahgunaan akses internet dengan niat jahat hanya dilakukan segelintir individu tidak bertanggungjawab.
"Hanya beberapa kes terpencil penyalahgunaan laman sosial. Oleh itu, tidak wajar kita terus menyekat kebebasan pengguna lain yang lebih ramai.
"Kita ada undang-undang untuk menyekat mereka yang tidak bertanggungjawab, jadi kita gunakan peruntukan yang ada.
"Tak adil jika kita terus haramkan penggunaannya (laman sosial)," katanya selepas mendengar taklimat di ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan untuk menyekat penggunaan laman sosial bagi mengatasi perbuatan tidak bertanggungjawab seperti yang dilakukan di negara China dan Iran.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kemudahan internet memberi banyak manfaat kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi pengetahuan.
Menurutnya, mereka yang melakukan kesalahan dan tidak mengikut undang-undang boleh dikenakan tindakan tegas.
"Kalau ada cacian dalam twitter, kita hendak haramkan, berlaku dalam Facebook (FB) kita sekat FB, ada isu sensitif dalam blog kita batalkan blog di Malaysia dan akhirnya kita kembali kepada zaman dahulu," katanya.- Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan