Rabu, 12 Jun 2013

Cari Titik Persamaan; Cakap Najib Tak Serupa Bikin

Editor BULETIN

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/minyak%20kelantan.jpgPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan umat Islam di negara ini untuk mencari titik pertembungan dan persamaan walaupun berbeza pendapat dan ideologi supaya dapat menunjuk contoh yang baik kepada masyarakat bukan Islam.

Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu merasmi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-56 di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, Kelantan disifatkan 'memang lunak', tetapi ia hanya 'manis dibibir kata' tetapi di hati lain bicara.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata, sebaliknya sejak tahun 1990 kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak mencari 'titik persamaan' malah mengamalkan politik pilih kasih dan tidak menghormati keputusan rakyat  Kelantan.

"Seruan beliau supaya mencari titik persamaan walaupun berlainan ideologi politik hendaklah dilaksanakan dengan tindakan. Semuanya terletak kepada beliau selaku pemimpin kerajaan Pusat,

"Politik pilih kasih dan tidak menghormati keputusan rakyat  Kelantan sejak 1990 masih berterusan. Bermula dengan perlantikan Pegawai Persekutuan yang membazir wang berpuluh juta setahun untuk pembayaran gaji dan perbelanjaan pengurusan, seolah-olah tidak iktiraf kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Hampir RM12 bilion wang royalti minyak masih disekat,"ujarnya.

Ustaz Idris yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang mempersoalkan, apakah dosa negeri Kelantan sehingga pemimpin Umno sanggup berbuat demikian?

Sehingga pemimpin Umno sanggup menganiayai dan mengkhianati rakyat Kelantan yang sama bangsa dan sama agama dengan datuk Seri Najib Razak serta ahli-ahli Umno yang Melayu dan Islam!

"Bukankah banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang melarang hambanya  melakukan kezaliman, walaupun kepada musuh. Mungkin Datuk Najib terlepas pandang ayat-ayat tersebut, atau pun ulamak pengampu tidak memberi tahu kepada beliau?,"soal Ustaz Idris

Malah, setiap kali musim pilihanraya, maka datang janji manis daripada pemimpin Umno untuk rakyat Kelantan, seolah-olah jika Kelantan diperintah oleh Umno, maka semua perkara akan selesai seperti isu air, pada hal tegas Ustaz Idris, di Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri pun menghadapi masalah air.

"Pemimpin BN sengaja mendera rakyat Kelantan dengan harapan rakyat akan tolak PAS di dalam pilihanraya, sebaliknya tidak.

"Rakyat Kelantan yang sudah terdidik dengan ilmu agama amat memahami isi kandungan al-Quran, dan kenal pula peribadi  Datuk Najib yang bercakap di majlis perasmian Tilawah al-Quran,"tambahnya.

Tiada ulasan: