Subky Latif, |
MESKIPUN perlembagaan membenarkan persempadanan baru kawasan pilihan raya dibuat sekali selepas sepuluh tahun, tidak bererti ia mesti dilakukan setiap sepuluh tahun.
Lazimnya persempadan baru dibuat tidak disebabkan faktor persempadanan itu perlu dirombak tetapi ia dibuat bagi memastikan UMNO dan sekutunya memenangi pilihan raya.
Memandangkan persempadan baru yang terakhir sepuluh tahun tidak adil khususnya buat Kelantan, Terengganu dan Johor, mungkin tiba waktunya ia dibetulkan. Kelantan dan Terengganu dalam penyusun itu tidak diberi tambahan kerusi bagi menyekat PAS mendapat manfaat dalam pilihan raya, sedang Johor mendapat tambahan kerusi bagi meramaikan YB BN baik di Parlimen mahupun DUN.
Tetapi buat masa ini perbincangan utama bukan untuk merombak kawasan pilihan raya tetapi bagi membetulkan pengendalian pentadbiran SPR yang tidak lagi mendapat keyakinan umum.
Sekalipun institusi polis, kehakiman, jabatan peguam negara dan SPRM tidak mendapat keyakinan umum, SPR lagi tidak diyakini dan perlu direformasi atau ditransformasi segera. Pembetulannya perlu diutamakan dari yang lain-lain.
Apabila SPR dapat disempurnakan, maka jadi kunci kepada pembetulan yang lain. SPR yang telus, bebas dan adil boleh membuka kepada perubahan pemerintahan. Jika pertukaran kuasa tidak dapat dilakukan, maka tidak ada ruang bagi melakukan di semua institusi yang lain. Jika dengan SPR yang telus dan adil itu membuka peluang perubahan, maka pertukaran kerajaan itu akan meletakkan polis, kehakiman, jabatan peguam negara dan SPRM pada kedudukan yang betul.
Pada masa ini kita tidak mahu persempadanan baru, kita tidak sedia membincangkan pemindahan SPR dari Jabatan Perdana Menteri kepada jawatankuasa khas di Parlimen. Bukan ia tidak penting, tetapi yang aula ialah merombak bagi memulihkan SPR.
Yang pertama kita mahu pengerusi dan timbalan pengerusi meletak jawatan secara sukarela atau dipaksa. Jika mereka ada maruah jalan terbaik ialah meletak jawatan. Jika tidak bermaruah, mereka terpaksa dipecat.
Pembentukan Suruhanjaya Diraja Penyiasatan tentang kecurangan SPR adalah langkah terbaik dan perlu didahulukan dari yang lain-lain. Kecurangan itu bukan baru. Ia sudah berlaku dalam setiap kali pilihanraya umum dan pilihanraya kecil.
Justeru rakyat sebelum ini tidak berdaulat, tidak apa yang dapat dibuat. Kita tidak berminat kepada Arab Spring. Jika tidak mahu penyakit Arab itu tiba ke sini, buang segera pengerusi dan timbalan pengerusi SPR, adakan pemulihan segera.
Majoriti rakyat khusus pengundi mengutuk SPR dan pengendalinya. Semua meludah mereka dari belakang. Cari makanlah di tempat lain untuk menanggung anak bini. Dunia ini luas untuk mencari rezeki. Atau bersara saja. Duit pencen pun cukup makan hingga akhir hayat. Jangan khianati harapan rakyat dan demokrasi.
Sebarang cadangan untuk mengadakan persempadanan baru biar datang dari rakyat, bukan dari SPR yang pincang itu. Apa saja yang datang dari SPR yang pincang tidak akan diterima oleh suara perubahan.
Dan apakah persempadanan baru itu yang memerlukan pindaan perlembagaan boleh dibuat oleh kerajaan yang tidak ada majoriti dua pertiga? Adakah boleh persempadanan dibuat dengan majoriti mudah kerajaan. Jika ia memerlukan sokongan MP Pakatan Rakyat, tidak nampak persempadanan baru itu boleh dibuat.
Buatlah apa yang boleh dan apa yang senang dulu. Dan keutamaam ialah kita memerlukan SPR yang telus, bersih dan adil. Lepas itu baru kita fikirkan membawanya di bawah seliaan Parlimen dan membentulkan persempadanan yang tidak dilakukan secara jujur sepuluh tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan