Namun kejadian itu sama sekali tidak mungkin
berjaya menakut-nakutkan anak muda untuk terus beraksi dalam banyak lagi
siri flashmob.
PETALING JAYA: Tindakan polis memberkas 15 peserta ‘flashmob’ di depan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan menahan mereka hampir lapan jam di Balai Dang Wangi pada Sabtu lalu disifatkan sebagai satu tindakan gila.
“Namun kejadian itu sama sekali tidak mungkin berjaya menakut-nakutkan anak muda untuk terus beraksi dalam banyak lagi siri ‘flashmob’ selepas ini menjelang himpunan 22 Jun nanti,” kata Edy Noor Reduan, pengarah propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia.
Beliau menjelaskan bahawa sebenarnya tidak ada perhimpunan pada hari itu. Jika ada perhimpunan sekalipun, ia bukan berlangsung di depan Sogo tetapi di Padang Merbuk Jalan Parlimen pada 22 Jun nanti.
“Di depan Sogo tempohari hanyalah sebuah aksi spontan yang dipanggil ‘flashmob’,” terang beliau.
Menurutnya, polis tidak memahami konsep ‘flashmob’ apabila cuba menggunakan Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman yang menetapkan notis sepuluh hari untuk sebarang perhimpunan.
“Jika beri notis 10 hari, itu bukan ‘flashmob’. Malah dalam akta yang sama, polis tiada peruntukan untuk membuat tangkapan,” katanya.
Edy Noor menerangkan bahawa jika diarahkan bersurai sekalipun, peserta ‘flashmob’ bertekad tidak akan meninggalkan kawasan tersebut
“Ini kerana sangat jelas mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, tidak mengganggu orang awam, tidak mengganggu lalu lintas malah keadaan Jalan Tunku Abdul Rahman sememangnya sesak setiap hari Sabtu,” tambahnya.
Menurutnya, ‘flashmob’ Sabtu lalu bertujuan mengolah persetujuan orang ramai bahawa pilihan raya umum padad 5 Mei lalu dijalankan dengan penuh kecurangan.
Panik
Katanya, sikap panik kerajaan hingga menangkap peserta ‘flashmob’ dengan isyarat ugutan sebenarnya telah berjaya membangkit lebih banyak aksi ‘flashmob’ di seluruh negara.
Sehari selepas tangkapan ‘flashmob15′, beberapa flashmob dilancarkan termasuk salah satunya di depan Queensbay Mall, Pulau Pinang.
Hari ini juga katanya, satu ‘flashmob’ anak muda di Ipoh, esok di beberapa lokasi lagi termasuk di pekan Sungai Besar, Selangor.
Rabu ini, fasa kedua ‘flashmob’ seperti yang dijadualkan di Jalan Tun Perak akan tetap diteruskan bermula jam 5 petang, juga akan berlangsung di Bandar Melaka.
Khamis pula di Flashmob Kuala Terengganu, Kemaman, Port Dickson dan pekan Pontian, semua bermula jam 5 petang.
Lebih banyak lokasi ‘flashmob’ pada hari Jumaat iaitu sehari sebelum hari besar #KL622 – Hari Rakyat Lawan Penipuan SPR, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan