KEPONG : PKR menggesa Kerajaan Umno-BN untuk menghentikan tindakan menakut-nakutkan rakyat yang membantah keputusan pilihanraya ke-13, sebaliknya berusaha memahami kehendak mereka yang mahu sistem pilihanraya diperbetulkan.
Naib presiden PKR Sivarasa Rasiah juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan Kerajaan Umno-BN untuk menakut-nakutkan rakyat dan menyekat gerakan menuntut sistem pilihan raya yang telus.
“BN kena faham, bahawa rakyat khususnya anak muda akan tetap lawan kerana mereka yakin bahawa prinsip mereka untuk tegakkan keadilan adalah betul.
“Pergerakan ini akan terus berkembang sehingga BN tumbang dan sebuah kerajaan yang benar-benar demokratik dan telus dapat ditubuhkan di Malaysia,” tegas Sivarasa.
“Nasihat saya, cuba fahami kehendak anak-anak muda ini, terima teguran dan perbetulkanlah sistem pilihan raya yang menjadi punca.
“Hentikanlah mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar seperti dengan melakukan penangkapan seperti penahanan Adam Adli,” tambah Sivarasa apabila ditemui di satu di hadapan balai polis Jinjang di sini semalam.
Himpunan tersebut adalah bagi menunjukkan solidariti terhadap aktivis mahasiswa Adam Adli yang ditahan reman sejak Sabtu lalu dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Beliau ditahan berkenaan ucapannya di sebuah forum anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei.
Adam didakwa menggesa orang ramai turun ke jalan raya untuk menyatakan bantahan terhadap keputusan pilihanraya ke-13.
Himpunan semalam turut disertai pemimpin Pakatan lain yang antaranya Presiden Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Nasir Hashim.
“Jangan pernah lupa bahawa semangat anak-anak muda seperti ditonjolkan oleh Adam Adli ini membawa obor perjuangan, mereka mahukan masa depan gemilang, mahu negara yang lebih baik.
“Semoga obor perjuangan ini juga akan menerangi hati semua termasuk mereka yang buta dan tuli,” kata Wan Azizah di hadapan lebih 200 hadirin.
Dr Nasir Hashim dalam ucapannya pula menganggap penangkapan Adam adalah suatu tindkaan yang dilihat tidak adil dan berat sebelah.
“Mengapa pula ucapan yang lebih teruk yang dikeluarkan (aktivis ketuanan Melayu) Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan bekas hakim (Datuk Mohd Noor Abdullah) tidak dikenakan sebarang tindakan?,” soal mantan Adun Kota Damansara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan