SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Berikutan persaraan wajib Ketua Polis Negara (KPN) Tan
Sri Ismail Omar, Jumaat ini, siapa yang bakal menggantikannya mula
menjadi topik perbincangan hangat di kalangan warga polis dan juga
rakyat.
Ismail, yang lahir pada 17 Mei 1953 di Kulim, Kedah, dilantik sebagai
KPN yang kesembilan pada 13 September 2010, menggantikan Tan Sri Musa
Hassan.
Mengikut tradisi, tugas menerajui pasukan Harimau Biru itu diserahkan kepada timbalannya, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Bagaimanapun, jawatan KPN dan timbalanya merupakan Jawatan Khas di
bawah Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan di mana
pelantikan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mendapatkan perkenan baginda sebelum mengumumkan pengganti Ismail.
Khalid, 55, yang berasal dari Seremban, memulakan karier sebagai
pelatih inspektor pada 5 Disember 1976 sebelum diberi beberapa tugas
mencabar.
Pada 1997, beliau dilantik Ketua Jabatan Anti Narkotik Kedah diikuti
Ketua Jabatan Pengurusan Polis Pahang (2003), Ketua Polis Daerah Kuantan
(2003), Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Timbalan Pengarah Jabatan
Siasatan Jenayah Bukit Aman (2006), Ketua Polis Selangor (2007),
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit
Aman (2010).
Pada 14 April, 2011, Khalid dilantik sebagai Timbalan KPN, menggantikan Datuk Hussin Ismail yang bersara.
Menurut sumber polis selain Khalid, lapan lagi pemimpin tertinggi polis turut layak untuk dilantik ke jawatan tersebut.
Mereka terdiri daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman
Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, Pengarah Pasukan Petugas Khas
(Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun dan
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Akhil Bulat.
Selain Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Wira Syed
Ismail Syed Azizan, Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Mortadza Nazarene
dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Noor Rashid
Ibrahim.
Turut dalam senarai yang layak ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam
Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Wira Salleh Mat Rashid dan Pengarah
Jabatan Logistik Datuk Zulkifli Abdullah.
KPN yang baharu bagaimanapun perlu menghadapi pelbagai cabaran termasuk
memperbaiki imej dan meningkatkan tahap keyakinan serta kepuasan
masyarakat terhadap tahap keselamatan sejajar dengan matlamat mencapai
perkhidmatan polis bertaraf antarabangsa.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee
Lam Thye berkata pemimpin baharu PDRM perlu mengurangkan indeks jenayah
untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap pasukan itu.
"Memang mustahil untuk hapuskan jenayah sehingga ke tahap sifar, tetapi
PDRM boleh mengurangkan kadarnya dengan drastik melalui pelbagai
kaedah," katanya.
Beliau turut menyarankan agar polis menggiatkan kerjasama dengan orang
awam untuk membanteras jenayah secara lebih efektif. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan