Selasa, 14 Mei 2013

Anwar: Nazri muflis idea

SAIFULLAH AHMAD & RAZIF ROSLI

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
IPOH -  Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mencabar supaya hak istimewa orang Melayu dihapuskan jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengambil alih Putrajaya.

Menurut Anwar, kenyataan dibuat ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu menunjukkan muflis idea kerana PR sudah pun membuat keputusan mengenai perkara tersebut.
Katanya, kesemua pimpinan tertinggi PR sudah pun mengemukakan persetujuan mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan.

“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan saya sudah menandatangani untuk mengiktiraf untuk terima Perlembagaan Malaysia termasuk Perkara 153 Hak Keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera.

“Tetapi Umno sampai sekarang cuba menakutkan orang Melayu mengatakan kami baik pemimpin Melayu, Cina, India, Dayak atau Kadazan nak hapuskan hak-hak Melayu serta  Bumiputera di negara ini. Ini pemikiran lapuk dan tak layak jadi pemimpin negara kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Blackout 505 di Medan Istana, di sini, semalam.

Kelmarin, Nazri mencabar Anwar dan pemimpin PR supaya memansuhkan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera bagi memberikan hak kesamarataan kaum di negara ini.

Himpunan yang dihadiri kira-kira 30,000 penyokong PR itu turut disertai beberapa pemimpin utama PKR termasuklah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Dr Muhammad Nur Manuty dan beberapa wakil rakyat parti itu.

Seawal jam 8.30 malam penyokong pembangkang mula membanjiri perkarangan Pejabat PKR Perak bagi mendengar ucapan ringkas beberapa pemimpin PKR sebelum ucaptama daripada Anwar.

Sungguhpun himpunan dibuat dalam kawasan terbuka dan penuh sesak, orang ramai langsung tidak berganjak mendengar ucapan beberapa pemimpin PR.

Kesemua ucapan terarah kepada rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dalam menguruskan pilihan raya.

Tiada ulasan: