Sabtu, 4 Mei 2013

Separuh pengundi Melayu di Johor sokong Pakatan

Oleh: Sidiqin Omar

JOHOR BAHRU : Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor, Dr Faidhi Saidi berkata, sokongan orang Melayu di Johor  kepada Pakatan berada pada tahap 50 peratus, bermaksud separuh daripada pengundi Melayu kini cenderung memilih gabungan parti itu
Dr_N.
Sokongan itu ternyata sangat berbeza dalam pilihan raya umum sebelum ini di negeri yang dikatakan terkenal dengan gelaran ‘kubu kuat Umno’.

Menurut Faidhi, kempen menarik sokongan pengundi Melayu terus diperhebatkan menerusi pecutan di saat akhir menjelang hari pengundian 5 Mei ini.

Manakala sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan pula berada dalam keadaan terbaik iaitu pada tahap 80 peratus, katanya.

“Isu yang dibangkitkan pengundi Cina adalah seperti rasuah dan keselamatan kerana ia beri kesan kepada mereka yang kebanyakannya berniaga.

“Manakala orang Melayu lebih tertumpu kepada peluang pekerjaan, taraf gaji dan isu perumahan. Paling sensitif (bagi orang Melayu) adalah isu mengenai tanah,” ujarnya yang juga calon parlimen KEADILAN Pasir Gudang.

johor

Pasir Gudang memiliki dua DUN iaitu Permas Jaya dan Johor Jaya yang sebelum ini dimenangi Barisan Nasional.

Kata Faidhi, beban BN kini terarah di DUN Permas yang ditandingi Datuk Seri Khaled Nordin- calon BN yang diuar-uarkan sebagai Menteri Besar Johor.

Menurutnya, antara isu yang menjadi tumpuan ialah isu tanah dan pengusiran yang berlaku di Felda Cahaya Baru Masai dan Kampung Plentong Tengah, melibatkan puluhan peserta Felda dan keluarga bandar peneroka.

Plentong

“Sejak 18 tahun lalu penduduk kampung duduk di atas tanah TOL ( Lesen Menduduki Sementara). Janji Umno-BN untuk meluluskan permohonan geran tanah tak diselesaikan,” tambahnya.

Ekoran itu 9 cawangan Umno dalam parlimen Pasir Gudang ditutup Januari lalu kerana protes geran tanah yang tidak diberi kepada penduduk.

Pengundi Muda

Menurut Faidhi, pengundi muda di Johor berumur dalam lingkungan 25 hingga 40 peratus lebih cenderung menyokong Pakatan dan melihat manifesto lebih realistik untuk dilaksanakan.

“Mereka melihat peluang pekerjaan diambil orang lain. Ketika Gaji Minima dilaksana pekerja asing untung. Pekerja tempatan tak dapat apa-apa kenaikan, sedangkan mereka terbeban banyak cukai,” kata Faidhi.

Justeru itu katanya, golongan muda ini secara tidak langsung menjadi agen perubahan yang mampu mempengaruhi pengundi berumur yang berjumlah 30 hingga 40 peratus

.Johor (2)

Selain itu katanya, golongan elit Malayu yang sebelum ini mengambil sikap tunggu dan lihat selepas tsunami 2008, juga cenderung menyokong Pakatan.

“Walaupun mereka tidak muncul dan berkempen secara terbuka, tetapi mereka beri pandangan dan strategi selain bantuan kewangan dan peralatan. Bagi saya, ini satu perubahan drastik,” katanya.

Tiada ulasan: