Khamis, 9 Mei 2013

Najib tidak patut salahkan pengundi Cina

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak patut bertanya kenapa pengundi Cina tidak menyokong MCA, sebaliknya bertanya kenapa pengundi Melayu mahu mengundi sebuah parti yang diketuai pemimpin yang begitu terkenal seperti Chua Soi Lek.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, dengan terus menyalahkan pengundi Cina dan mendakwa kononnya mereka ditipu DAP supaya tidak mengundi BN, Najib dilihat benci terhadap hak demokratik yang bebas memilih serta mencela intelek pengundi seluruh Malaysia.

Katanya, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang baru selesai menyaksikan “tsunami rakyat Malaysia” mengakibatkan Pakatan Rakyat (PR) memenangi 51% undi popular untuk pertama kali dalam sejarah.

“Meskipun PR mendapat lebih banyak undi berbanding BN dengan sokongan daripada semua kaun, BN terus menyalahkan pengundi Cina. Masyarakat Cina hanya 25% daripada populasi 29 juta rakyat Malaysia iaitu tidak sampai separuh mendaftar sebagai pengundi.

“Daripada jumlah itu, BN mendapat undi sebanyak 5,237,699 bagi semua 222 kerusi Parlimen manakala Pakatan Rakyat menjana 5,623,984 undi. Pakatan membabitkan tiga parti iaitu PKR, PAS dan DAP juga memintas BN di kerusi DUN, dengan mendapat 4,879,699 undi berbanding gabungan 13 parti dalam BN yang mendapat 4,513,997 undi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, dalam keadaan masyarakat Cina hanya 25% daripada jumlah pengundi, Pakatan Rakyat mendapat 51% undi popular, bagaimana BN boleh menyalahkan komuniti masyarakat Cina.

Beliau berkata, Najib dan BN patut menyiasat kenapa pengundi Melayu dan India juga tidak mengundi MCA, malah kenapa mana-mana Melayu dan India yang baik akan mengundi MCA sedangkan ia dipimpin seorang pemimpin yang begitu terkenal seperti Chua Soi Lek.

“Chua Soi Lek begitu terdesak sehingga lupa dirinya adalah satu liabiliti politik dengan mengkhianati rakyat Malaysia apabila bersekongkol dengan UMNO memainkan sentimen perkauman dengan menyalahkan masyarakat Cina atas kekalahan BN,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: